GOPENG: Selepas hampir 80 tahun beroperasi, Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Gopeng bakal berwajah baharu menerusi pembangunan semula bangunan sekolah daif melibatkan peruntukan sebanyak RM14.5 juta.
Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, projek yang dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) itu dijangka bermula pada hujung tahun ini dan mengambil masa 22 bulan untuk disiapkan.
Katanya, iklan tender projek berkenaan dijangka dibuat pada Jun depan dan proses pelantikan kontraktor akan dilaksanakan selepas itu.
“Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, didapati blok utama yang menempatkan bilik darjah dan blok pentadbiran sekolah telah terjejas akibat ancaman anai-anai.
“Keadaan itu menyebabkan bangunan berkenaan diklasifikasikan oleh Jabatan Kerja Raya di skala 7, iaitu kategori bangunan daif yang perlu dibina semula,” katanya.
Beliau ditemui pemberita ketika lawatan kerja ke sekolah berkenaan di sini hari ini.
Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional Perak, A. Sivanesan dan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Sandrea Ng Shy Ching.
Menurut beliau, skop projek itu melibatkan perobohan blok bangunan daif sedia ada dan pembinaan blok gantian tiga tingkat yang merangkumi enam bilik darjah, pejabat pentadbiran, bilik guru dan stor sukan.
Katanya, turut disediakan kemudahan tambahan bagi memastikan proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) lebih efektif, termasuk bengkel Bilik Reka Bentuk Teknologi (RBT), makmal sains, bilik kesihatan, bilik bimbingan dan kaunseling serta bilik mesyuarat.
“Sepanjang tempoh pembinaan, bilik darjah sementara berbentuk kabin akan disediakan bagi memastikan PdP dapat diteruskan tanpa gangguan.
“Kabin yang disediakan bukan seperti kabin biasa yang diangkut menggunakan lori, sebaliknya merupakan struktur bangunan khas yang lengkap dan sesuai digunakan sebagai ruang pembelajaran,” katanya.
Tambah beliau, kemudahan kabin itu turut dilengkapi fasiliti yang selesa dan terjamin, selain menjadi penyelesaian sementara bagi menempatkan murid apabila blok asal dikosongkan untuk memberi laluan kepada kerja-kerja pembinaan.
“Pendekatan ini lazim digunakan bagi memastikan murid dapat terus mengikuti pembelajaran dalam persekitaran yang kondusif sepanjang projek pembinaan dilaksanakan.
“Sekiranya semua berjalan dengan lancar, kita berharap pada penghujung tahun 2028, projek ini dapat siap dan murid-murid boleh berpindah masuk semula ke bangunan baharu,” katanya. – UTUSAN










