Sistem pam solar bantu pesawah

Sistem pam solar bantu pesawah

SISTEM pam air solar menjimatkan kos dan mengatasi masalah pengairan berikutan kemarau di Kampung Kersek, Mata Ayer, Perlis.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Sekumpulan pesawah di Kampung Kersek, Mata Ayer di sini lega apabila sistem pam air solar yang mula beroperasi berjaya menjimatkan kos dan mengatasi masalah pengairan berikutan kemarau di negeri ini.

Inisiatif tersebut merupakan hasil penyelidikan dan konsultansi Fakulti Kejuruteraan dan Teknologi Elektrik (FKTE), Universiti Malaysia Perlis (Unimap) dan komuniti setempat.

Dekan FKTE, Prof. Madya Ir. Dr. Shamsul Bahar Yaakob berkata, sebahagian besar petani sebelum ini bergantung sepenuhnya kepada pam air yang menggunakan petrol atau diesel, sekali gus memerlukan perbelanjaan tinggi terutama ketika musim kemarau yang menyaksikan keperluan air terus meningkat.

Pam air solar yang menggunakan tenaga matahari sebagai sumber utama menjadikan kos operasi dapat dikurangkan secara signifikan, sekali gus meningkatkan margin keuntungan para pesawah.

“Selain penjimatan kos, sistem tersebut turut menyumbang kepada pengurangan pelepasan karbon dan mempromosi amalan pertanian lebih mesra alam. Projek ini bukan sekadar pemasangan perkakasan teknologi, tetapi satu anjakan paradigma ke arah pembentukan ekosistem pertanian pintar lebih berdaya tahan.

“Projek ini melalui hasil kolaborasi kepakaran teknikal universiti dengan sokongan Majlis Pembangunan dan Keselamatan Kampung (MPKK) Kersek serta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

“Ia turut mendapat dana penyelidikan daripada IEEE HTB SIGHT serta sokongan teknikal Gansu Natural Energy Research Institute (GNERI). Pemindahan teknologi seperti ini selari dengan usaha memperluaskan penggunaan tenaga boleh diperbaharui dan menyokong pembangunan mampan negara,” katanya.

Ketua projek, Dr. Muzaidi Othman berkata, sistem pam solar berkenaan dibangunkan sebagai alternatif lebih ekonomik dan lestari berbanding penggunaan pam konvensional berasaskan petrol.

Katanya, pendekatan tersebut bukan sahaja membantu mengurangkan kos bahan api, malah menyediakan penyelesaian pengairan yang lebih stabil dan berdaya tahan dalam jangka panjang.

“Sistem ini menggunakan susunan 16 panel solar dengan kapasiti sekitar 7.2 kilowatt (kW) bagi menjana tenaga elektrik untuk menggerakkan pam air tenggelam berkapasiti tiga kW,” katanya.

Sistem berkenaan turut dilengkapi panel kawalan elektrik serta pemacu frekuensi boleh ubah bagi memastikan operasi pam lebih stabil dan cekap.

“Selain itu, teknologi pemantauan berasaskan Internet of Things (IoT) juga digunakan untuk merekod parameter seperti voltan, arus, kelajuan pam dan kadar aliran air secara masa nyata, sekali gus memudahkan penyelenggaraan serta pemantauan prestasi sistem.

“Pelajar dan penyelidik universiti turut terlibat dalam proses pemasangan, pemantauan dan latihan komuniti, sekali gus memperkukuh pembelajaran berasaskan pengalaman sebenar manakala komuniti setempat pula diberikan pendedahan berkaitan pengendalian dan penyelenggaraan sistem bagi memastikan teknologi itu dapat dimanfaatkan secara berterusan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN