Singgah Sahur UMPSA @Kuala Lumpur santuni pasukan keselamatan, anak yatim dan asnaf

Singgah Sahur UMPSA @Kuala Lumpur santuni pasukan keselamatan, anak yatim dan asnaf

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) baru-baru ini menganjurkan Program Singgah Sahur @ Kuala Lumpur 2026 bagi menyantuni komuniti setempat, anak yatim dan golongan asnaf serta menghargai pengorbanan pasukan keselamatan dan petugas barisan hadapan yang bertugas pada waktu malam sepanjang Ramadan.

Empat lokasi persinggahan pada kali ini melibatkan Rumah Anak Yatim dan Asnaf Baitun Nurrawdhah , Pusat Jagaan Kasih Murni, Balai Polis Setiawangsa dan Balai Bomba dan Penyelamat Keramat.

Rumah Anak Yatim dan Asnaf Baitun Nurrawdhah  iaitu Rumah kebajikan yang diusahakan oleh Hafifah binti Ismail  menempatkan seramai 39 penghuni yang berusia antara tujuh bulan hingga 17 tahun manakala Pusat Jagaan Kasih Murni di Taman Keramat yang menempatkan 30 kanak-kanak terdiri daripada 10 lelaki dan 20 perempuan berusia antara enam hingga 15 tahun.

Pusat jagaan yang dikendalikan oleh Rohana  Ali itu menempatkan kanak-kanak daripada golongan anak yatim dan asnaf yang memerlukan perhatian serta sokongan masyarakat.

Menurut Pengerusi Lembaga Pengarah UMPSA, Datuk’ Seri Abdul Razak Jaafar yang juga Pengerusi Yayasan UMPSA ,  Program Singgah Sahur itu bertujuan mengeratkan hubungan antara Yayasan UMPSA dan masyarakat setempat di samping menyemarakkan semangat kebersamaan dan keprihatinan sepanjang bulan Ramadan.

“Selain berkongsi rezeki dengan golongan memerlukan, program ini juga memberi sokongan dan penghargaan buat petugas barisan hadapan yang sentiasa komited menjalankan tanggungjawab demi keselamatan dan kesejahteraan masyarakat,” katanya yang hadir menyampaikan sumbangan bekalan makanan, bantuan tunai dan duit raya buat penghuni di sini.

Dalam pada itu, Naib Canselor UMPSA, Prof Ts Dr  Yatimah Alias berkata, program Singgah Sahur yang masuk kali ke-10 penganjuran ini memberi peluang pelajar mendekati masyarakat setempat dengan aktiviti kesukarelawanan.

Pihaknya menghargai komitmen seramai 33 sukarelawan UMPSA Kilau dari Yayasan UMPSA yang turut turun padang menyantuni komuniti  dengan menjalankan aktiviti yang bermanfaat bersama komuniti setempat.

Program Singgah Sahur turut menyantuni petugas barisan hadapan yang bertugas pada waktu malam di Balai Polis Setiawangsa bagi menyampaikan juadah sahur kepada 20 anggota polis yang sedang bertugas manakala seramai 20 anggota bomba yang bertugas di Balai Bomba dan Penyelamat Keramat menerima juadah sahur.

Hadir menerima sumbangan mewakili  Balai Polis Setiawangsa , Inspektor Shahrul bin Shahrom dan Penolong Kanan Penguasa Bomba (PKPgB) , Mohd Fahmi Abd Rahim.

Mohd Fahmi  turut menyampaikan pesanan untuk mengambil langkah mengutamakan keselamatan keluarga dan sentiasa berhati-hati di jalan raya semasa musim perayaan.

Hadir sama dalam  program, Pendaftar UMPSA, Datuk Saiful Bahri Ahmad Bakarim ; Ketua Eksekutif Yayasan UMPSA , Mohd. Jamil bin Ja’afar ; Pengarah Pusat Komuniti Korporat, Mimi Rabita Abdul Wahit dan Pengarah Program Singgah Sahur @Kuala Lumpur, Nur Amalina Abd. Malik, Pelajar Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Pembuatan (Farmaseutikal) Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kimia dan Proses.

Pada kali ini juga sukarelawan turut berpeluang membantu pihak Masjid Jamek Sultan Abdul Samad mengagihkan juadah berbuka puasa kepada kira-kira 2,000 jemaah dan komuniti yang hadir di sana. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN