PETALING JAYA: Tiada kecederaan dilaporkan melibatkan anggota Batalion Malaysia (Malbatt) 850-13 dalam satu serangan udara pasukan Tentera Pertahanan Israel (IDF) di selatan Lubnan awal pagi tadi.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, serangan tersebut berlaku kira-kira pukul 2.35 pagi waktu tempatan dengan jarak anggaran antara 100 hingga 200 meter dari penempatan pasukan Malbatt 850-13 di sebuah pos kawalan.
Menurut beliau, serangan berkenaan dipercayai menyasarkan sebuah jambatan yang melintasi Sungai Litani di kawasan tersebut.
“Serangan susulan dilaporkan berlaku pada pukul 3.02 pagi yang mengakibatkan kerosakan terhadap beberapa fasiliti serta penginapan anggota di kawasan pos kawalan tersebut.
“Ketika kejadian, seorang pegawai bersama lapan anggota lain-lain pangkat Malbatt 850-13 yang berada di pos kawalan itu diarahkan oleh Tactical Operations Centre (TOC) Malbatt untuk berundur sebagai langkah keselamatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau turut memaklumkan semua persenjataan serta peralatan yang dibawa berada dalam keadaan selamat.
Katanya, pemeriksaan kesihatan turut dijalankan oleh pegawai perubatan bagi memastikan semua anggota berada dalam keadaan baik serta kekal pada tahap kesiapsiagaan yang tinggi.
“Keselamatan anggota Angkatan Tentera Malaysia yang melaksanakan misi pengaman di luar negara sentiasa menjadi keutamaan kerajaan.
“Kementerian melalui Markas Angkatan Bersama akan terus memantau perkembangan situasi di kawasan operasi dengan teliti selain bekerjasama rapat dengan pihak UNIFIL serta rakan pasukan pengaman lain bagi memastikan keselamatan anggota sentiasa terpelihara,” jelasnya.-UTUSAN










