PUTRAJAYA: Seorang daripada empat anak Allahyarham Tun Daim Zainuddin sudah berhubung dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung kes yang sedang disiasat menerusi Op Godfather.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, tiga lagi anak kepada bekas Menteri Kewangan itu masih gagal dikesan.
Baru-baru ini, siasatan terhadap keluarga Daim berterusan apabila empat anaknya kini sedang dikesan SPRM bagi membantu siasatan yang sedang dijalankan agensi itu.
Keempat-empat individu terbabit ialah Asnida, 65; Md. Wira Dani, 48; Muhammed Amir Zainuddin, 31 dan Muhammed Amin Zainuddin, 28.
Kesemua individu terbabit dipercayai kini berada di luar negara dan diperlukan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 36 (1) (b) Akta SPRM 2009.
Peruntukan itu memberi kuasa kepada SPRM untuk mengarahkan mana-mana individu mengisytiharkan segala aset yang dimiliki bagi tujuan siasatan.
SPRM menerusi kenyataan memaklumkan, Asnida mempunyai alamat terakhir di Country Heights, Kajang Selangor manakala Md. Wira Dani beralamat terakhir di Taman Melawati, Ulu Klang.
Sementara Muhammad Amir Zainuddin dan Muhammed Amin Zainuddin mempunyai alamat terakhir di Bukit Tunku, Kuala Lumpur. – UTUSAN










