KUALA LUMPUR: Iran hanya membuka laluan Selat Hormuz kepada negara bukan sekutu Amerika Syarikat (AS) dan Israel atau mana-mana pihak yang terlibat dalam operasi ketenteraan terhadap republik itu.
Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi berkata, kapal dari negara terbabit dibenarkan melalui laluan strategik itu dengan syarat berkoordinasi bersama pihak berkuasa Iran bagi menjamin keselamatan.
“Selat Hormuz ditutup kepada kapal yang dimiliki atau mempunyai kaitan dengan AS, Israel atau mana-mana pihak yang terlibat dalam operasi ketenteraan terhadap Iran.
“Kapal lain masih boleh melalui selat itu dengan selamat, namun perlu berkoordinasi dengan pihak berkuasa Iran,” katanya seperti dilaporkan agensi media Iran, Wana, semalam.
Beliau berkata demikian dalam perbualan telefon bersama Menteri Luar, Datuk Mohamad Hasan yang turut membincangkan perkembangan serantau termasuk implikasi ekonomi susulan konflik berterusan di Asia Barat.
Konflik Asia Barat hampir menghentikan penghantaran kira-kira satu perlima bekalan minyak dan gas asli cecair (LNG) dunia yang melalui selat berkenaan.
Situasi itu sekali gus memberi tekanan besar kepada rantaian bekalan tenaga global dan mencetuskan kebimbangan terhadap kestabilan pasaran minyak dunia.
Dalam perkembangan berkaitan, Ketua Komander Tentera Laut Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) Iran, Laksamana Muda Alireza Tangsiri berkata, semua kapal yang ingin melalui Selat Hormuz perlu mendapatkan koordinasi penuh dengan pihak berkuasa maritim Iran.
Menurut beliau, kawalan ketat terhadap lalu lintas maritim di laluan strategik itu kini dilaksanakan bagi menjamin keselamatan serta kedaulatan negara.
“Laluan mana-mana kapal melalui jalan air ini memerlukan koordinasi penuh dengan pihak berkuasa maritim Iran,” katanya.
Sementara itu, Araghchi menegaskan Iran bertekad mempertahankan kedaulatan serta keutuhan wilayahnya dan tidak teragak-agak menggunakan segala cara yang ada bagi melindungi sempadan negara.
Bagaimanapun, beliau menegaskan Iran kekal komited untuk mengekalkan hubungan baik dengan negara-negara serantau yang tidak terlibat dalam konflik tersebut.
“Penggunaan wilayah dan kemudahan ketenteraan negara lain oleh AS dan Israel untuk melancarkan serangan terhadap Iran tidak memberi pilihan kepada Tehran selain mengambil langkah pertahanan di bawah hak mempertahankan diri,” katanya.
Beliau turut menggesa negara-negara berdekatan supaya tidak membenarkan wilayah mereka digunakan bagi tujuan ketenteraan terhadap Iran.
Menurutnya, tindakan tersebut bukan sahaja melanggar prinsip undang-undang antarabangsa, malah bertentangan dengan tanggungjawab moral dan nilai kemanusiaan.
Araghchi berkata, tindakan ketenteraan AS dan Israel turut menjejaskan keselamatan serantau serta kestabilan ekonomi global, termasuk keselamatan pelayaran di Selat Hormuz.
Katanya, ketidakstabilan yang berlaku di laluan tersebut merupakan kesan langsung daripada tindakan agresif yang berterusan.
“Iran telah mengambil langkah selaras dengan undang-undang antarabangsa bagi melindungi kedaulatan dan keutuhan wilayahnya di selat berkenaan,” katanya.
Dalam pada itu, Mohamad Hasan menegaskan pendirian Malaysia yang mengutuk sebarang bentuk pencerobohan terhadap Iran serta menggesa agar ketegangan segera diredakan.
Beliau berkata, Malaysia kekal komited dalam usaha diplomasi bagi memastikan keamanan dan keselamatan serantau terus terpelihara.
“Kepentingan dialog dan diplomasi dalam meredakan ketegangan serta menghentikan peperangan amat diperlukan ketika ini,” katanya.
Mohamad turut merakamkan ucapan takziah dan solidariti kepada Iran atas kematian orang awam akibat serangan tersebut.
Sementara itu, Malaysia sebagai negara pengeluar minyak turut menerima tempias susulan kenaikan harga minyak global akibat konflik di Asia Barat.
Hampir 50 peratus bekalan minyak negara melalui Selat Hormuz, menjadikan laluan itu amat kritikal kepada kestabilan bekalan tenaga negara.
Selat Hormuz yang merupakan laluan utama minyak dunia kini terjejas akibat konflik, sekali gus menyebabkan bekalan menjadi terhad dan harga melonjak.
Iran dilaporkan mula menghadkan laluan di selat tersebut susulan serangan AS-Israel sejak 28 Februari lalu yang menyaksikan harga minyak mentah meningkat sekitar AS$120 setong.-UTUSAN











