Selagi tidak koyak, pakai saja baju raya lama - Muaz Zabir latih berjimat - Utusan Malaysia

Selagi tidak koyak, pakai saja baju raya lama – Muaz Zabir latih berjimat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelakon, Muaz Zabir memilih untuk memakai semula baju Melayu yang sedia ada dalam simpanan peribadinya dan tidak bercadang membeli pakaian baharu sempena sambutan Aidilfitri tahun ini.

Menurut Muaz atau Muaz Mohamad Zabir, 28, selagi pakaian yang dimiliki masih dalam keadaan baik dan tidak rosak seperti koyak, tiada keperluan untuknya menambah koleksi baharu.

“Tahun ini saya tidak beli baju raya sebab masih banyak baju dari tahun lepas. Jadi pakai semula sahaja, boleh berjimat sedikit.

“Bagi saya, tidak salah pakai baju yang sama selagi tidak koyak atau rosak. Kalau perasan, ke mana-mana acara pun saya sering pakai pakaian yang sama dan saya tidak kisah,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia baru-baru ini.

Tambah pelakon drama Bukan Hanya Sekadar Cinta itu, seseorang masih boleh tampil kemas dan bergaya tanpa perlu kerap membeli pakaian baharu.

Malah, beliau mengakui sikap berjimat-cermat penting terutama bagi mereka yang berada dalam industri seni yang tidak menjanjikan pendapatan tetap.

“Bukan kedekut, tetapi kita perlu bijak mengurus kewangan. Kita tidak tahu sejauh mana kerjaya ini boleh membawa kita.

“Kadang-kadang terfikir juga, mungkin bulan depan atau dua bulan lagi tiada tawaran kerja. Jadi kita perlu ada simpanan.

“Asalkan pakaian itu masih elok dan tidak menjejaskan penampilan, tidak menjadi masalah untuk memakainya semula,” katanya yang kini masih sibuk menjalani penggambaran walaupun di penghujung Ramadan.

Berkongsi mengenai sambutan Hari Raya Aidilfitri, Muaz berkata dia akan pulang ke kampung halamannya di Negeri Sembilan untuk meraikan lebaran bersama keluarga.

“Raya pertama di kampung sahaja, insya-Allah di Negeri Sembilan.

“Apa yang istimewa ialah malam mantai, di mana kami biasanya ramai-ramai masak sup daging. Itu antara tradisi keluarga di Negeri Sembilan,” katanya.

Bagi Muaz, pulang ke kampung setiap kali Aidilfitri merupakan perkara yang tidak boleh dikompromi, apatah lagi mengenangkan pesan arwah bapanya yang amat menitikberatkan nilai kekeluargaan.

“Arwah abah pernah berpesan, kalau bekerja tetapi tidak dapat cuti hari raya, lebih baik berhenti kerja. Dia memang sangat mementingkan semangat balik kampung,” ujarnya.

Malah katanya, walaupun pernah melalui tempoh sukar seperti pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan, dia tetap berusaha untuk pulang ke kampung.

“Sejak kecil memang dididik begitu. Dulu masa kecil pernah juga merungut sebab kerap balik kampung. Tetapi bila sudah dewasa, barulah faham betapa pentingnya perkara itu,” katanya. — UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN