KUALA TERENGGANU: Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar menafikan terlibat dalam pertemuan di Bangkok, Thailand, yang dikaitkan sebagai ‘Langkah Bangkok’.
Justeru itu, beliau yang juga Naib Presiden Pas berharap semua pihak tidak membuat spekulasi atau mengaitkan dirinya dengan perkara yang tidak berlaku.
“Merujuk kepada kenyataan yang dibuat oleh beberapa pihak tertentu, saya ingin menjelaskan bahawa saya tidak terlibat dalam apa jua pertemuan di Bangkok, yang dirujuk oleh setengah pihak sebagai ‘Langkah Bangkok’ seperti dilaporkan.
“Sebarang pertemuan atau perbincangan yang dikaitkan dengan perkara tersebut adalah tidak melibatkan saya dan tiada kena mengena dengan saya.
“Saya berharap semua pihak tidak membuat spekulasi atau mengaitkan nama saya dengan perkara yang tidak berlaku,” katanya yang juga Menteri Besar Terengganu dalam satu kenyataan menerusi Facebooknya, malam tadi.
Terdahulu, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, dilapor mengesahkan bertemu Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin tahun lalu antara lain untuk membincangkan isu penyatuan Melayu dan Islam. – UTUSAN










