BAGAN DATUK: Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi membalas kenyataan Isham Jalil yang menolak untuk kembali menyertai parti itu dan Rumah Bangsa dengan menyatakan beliau tidak mengenal bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO itu.
Ahmad Zahid berkata, beliau tidak pernah mengetahui siapa sebenarnya Isham Jalil.
“Saya tak kenal dia dan saya tak pernah tahu dia,” katanya ringkas ketika ditemui pemberita selepas Program Ihya Ramadan Al-Mubarak di Dewan Dato’ Lope Hashim, di sini hari ini.
Ahmad Zahid ditanya mengenai kenyataan Isham yang menolak pelawaan untuk mana-mana ahli UMNO yang digantung atau dipecat untuk kembali menyertai parti itu menerusi agenda Rumah Bangsa.
Isham yang dipecat daripada UMNO pada 2023 menyatakan tidak berminat untuk menyertai gagasan tersebut kerana ia masih berada dalam kerangka kerajaan Madani selain menggesa Ahmad Zahid menemui dan memohon maaf kepada bekas pemimpin parti itu.
Sementara itu, mengulas mengenai sambutan terhadap Rumah Bangsa, beliau berkata, sambutan yang diterima amat menggalakan apabila ramai bekas ahli UMNO menyatakan hasrat untuk kembali menyertai parti itu.
Menurut beliau, jawatankuasa Rumah Bangsa yang dipengerusikan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin telah mengadakan mesyuarat bagi membincangkan perkara tersebut.
“Saya yakin jawatankuasa itu tidak mengenakan sebarang syarat, beliau hanya mahu permohonan dibuat secara rasmi supaya tidak timbul masalah di belakang hari nanti,” katanya.
Dalam pada itu, ditanya mengenai hasrat Khairy Jamaluddin untuk menyertai UMNO, beliau berkata telah beberapa kali bertemu dengan bekas Ketua Pemuda UMNO itu.
“Ya, saya bertemu beberapa kali dalam majlis, dan insya-Allah secara rasminya beliau berhasrat untuk bertemu dengan saya.
“Sebagaimana yang saya nyatakan dalam kenyataan mengenai ‘Rumah Bangsa’, kita terima siapa sahaja kecuali orang yang saya tidak kenal yang kepalanya masih keras.
“Saya beri peluang untuk beliau dan kalau beliau berada di dalam situasinya, saya harap beliau berjaya dengan misi ‘keras kepalanya’,” katanya.
Terdahulu Ahmad Zahid menyampaikan sumbangan kepada seramai 1,584 penerima dari kategori ketua isi rumah lelaki, ibu tunggal, anak yatim dan orang kurang upaya dengan peruntukkan berjumlah RM246,800. – UTUSAN










