Saya hargai, tetapi gelaran ‘Iron Lady’ terasa berat - Bella Astillah

Saya hargai, tetapi gelaran ‘Iron Lady’ terasa berat – Bella Astillah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelakon dan penyanyi, Bella Astillah mengakui gelaran ‘Iron Lady’ yang diberikan warga maya kepadanya disifatkan sebagai satu penghormatan besar, namun agak berat untuk dipikul.

Bella atau  Dayang Nabilla Awang Astillah, 31, berkata, masih ramai wanita terutama golongan ibu yang jauh lebih cekal berbanding dirinya, namun tidak berada di hadapan kamera.

“Sebenarnya rasa berat untuk memikul gelaran itu. Pada saya, bukan saya sahaja ‘Iron Lady’. Ramai lagi ibu di luar sana yang lebih kental, cuma mereka tidak berada di depan kamera.

“Saya sangat menghargai gelaran itu, tetapi bagi saya semua yang bergelar ibu sebenarnya adalah ‘Iron Lady’,” katanya.

Bella berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran lagu raya terbaharunya Ya Raya, di sini, baru-baru ini.

Mengulas mengenai beberapa video tular yang memaparkan dirinya tertidur kepenatan di dalam kereta sebelum ini, Bella mengakui jadual kerjanya agak padat, namun bersyukur kini mempunyai pembantu termasuk pemandu peribadi yang banyak membantu menguruskan pergerakannya.

“Memang selalu ada yang merakam saya tertidur. Alhamdulillah, sekarang ada pemandu yang boleh membantu. Kalau dahulu, saya memandu sendiri.

“Sekarang saya ambil peluang untuk berehat seketika atau tidur sebentar sepanjang perjalanan ke lokasi seterusnya,” jelasnya.

Dalam perkembangan lain, Bella tampil dengan lagu raya solo pertamanya berjudul Ya Raya yang menggabungkan elemen klasik dan moden bagi menarik pelbagai lapisan pendengar.

“Kalau lagu raya, kita mahu sesuatu yang mudah didengar dan sesuai dengan cita rasa masa kini. Secara peribadi, saya memang meminati lagu raya klasik, tetapi untuk projek ini, kami mahukan sesuatu yang lebih ‘catchy’.

“Jadi, kami ambil jalan tengah tidak terlalu moden dan tidak terlalu klasik, agar sesuai untuk semua peringkat usia,” katanya.

Malah, Bella turut berkongsi pengalaman menjadi ‘bidan terjun’ dan koreografer secara spontan ketika sesi penggambaran video muzik lagu tersebut.

“Ketika penggambaran, rupanya perlu ada langkah tarian. Saya cuba hubungi rakan penari melalui WhatsApp, namun mereka tidak sempat menghantar contoh gerakan dengan segera.

“Akhirnya, saya sendiri yang mencipta koreografi secara spontan dan mengajarnya kepada semua di set. Dari awal hingga akhir, saya uruskan dan jadi ‘cikgu tari’ seketika hari itu,” katanya. — UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN