KUALA LUMPUR: Walaupun tidak memfailkan tuntutan hak penjagaan anak secara rasmi di mahkamah, pelakon, Kamal Adli bersyukur apabila bekas isterinya, Uqasha Senrose sentiasa memudahkan urusannya untuk bertemu anak mereka, Hawra Uqaira.
Kamal atau Ahmad Kamal Ahmad Adli, 42, berkata dia berasa gembira setiap kali melihat anaknya itu teruja apabila bertemu dengannya.
“Kami tidak ada (memfailkan hak penjagaan secara rasmi), cuma buat keputusan bersama. Saya gembira sebab Uqasha memudahkan saya untuk jumpa Hawra.
“Dia juga sibuk bekerja, jadi mungkin dia juga mengharapkan saya meluangkan masa dengan Hawra.
“Perkara yang paling menyeronokkan ialah Hawra memang suka berjalan. Setiap kali saya ambil dia, dia sangat teruja apabila nampak saya. Saya sangat bersyukur,” katanya.
Kamal ditemui pada majlis Viu Together Gather dan Iftar di Dewan Serai, pusat beli-belah KLGCC, di sini, baru-baru ini.
Bagaimanapun, Kamal berkata, buat masa ini dia belum diberi keizinan untuk membawa anaknya bermalam bersamanya.
Namun, dia memahami kebimbangan pihak bekas isterinya memandangkan dirinya masih belum mempunyai pengalaman sepenuhnya dalam menguruskan anak kecil.
“Hak bermalam? Buat masa ini belum lagi. Saya faham mungkin Uqasha risau kerana saya sendiri mungkin belum cukup pengalaman untuk menjaga Hawra.
“Tapi saya tidak ada masalah. Dapat jumpa dia pun saya sudah sangat bersyukur. Saya boleh luangkan masa dengannya dan biasanya sebelum waktu tidurnya sekitar pukul 10 malam, saya sudah hantar dia pulang,” ujarnya.
Terdahulu, pada 12 Januari lalu, Kamal dan Uqasha sah bercerai talak satu di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur.
Untuk rekod, pasangan itu mendirikan rumah tangga pada 4 November 2021 dalam sebuah majlis tertutup di Janda Baik, Pahang dan dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Hawra Uqaira. -UTUSAN










