RUU had tempoh PM dibentang semula Jun depan

RUU had tempoh PM dibentang semula Jun depan

FAHMI FADZIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan akan membentangkan semula Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2026 bagi mengehadkan tempoh 10 tahun jawatan Perdana Menteri pada Persidangan Dewan Rakyat seterusnya, Jun depan.

Jurucakap kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, perkara itu diputuskan oleh Jemaah Menteri menerusi mesyuarat Kabinet hari ini.

“Kita berharap dan akan berusaha untuk memastikan ahli-ahli Parlimen kerajaan memberi sokongan penuh untuk hadir dan mengundi bagi meluluskan pindaan Perlembagaan yang sangat penting ini,” katanya menerusi sidang akhbar mingguan di sini hari ini.

Pada Isnin, media melaporkan, Dewan Rakyat tidak meluluskan RUU Perlembagaan (Pindaan) 2026 bagi mengehadkan tempoh 10 tahun jawatan Perdana Menteri selepas RUU itu gagal memperoleh sokongan dua pertiga ahli Parlimen.

Mengulas lanjut, Menteri Komunikasi itu berkata, Jemaah Menteri turut diberikan taklimat oleh Ketua Whip Kerajaan, Datuk Seri Fadillah Yusof mengenai status lapan ahli Parlimen kerajaan yang tidak hadir untuk mengundi RUU itu.

“Seperti yang diketahui, di pihak Pakatan Harapan (PH) kehadiran ahli-ahli Parlimen adalah 100 peratus, manakala lapan ahli Parlimen kerajaan (yang tidak hadir) telah dinyatakan siapa mereka.

“Dimaklumkan bahawa daripada lapan ahli Parlimen itu, dua telah menulis (surat) secara rasmi untuk memberi penerangan dan penjelasan kepada Ketua Whip,” katanya.

Pada masa sama, Fahmi berkata, Jemaah Menteri juga telah dimaklumkan berhubung salah faham yang mungkin berlaku dalam kalangan ahli Parlimen pembangkang.

“Ada di kalangan mereka telah memberi maklum balas kepada salah seorang menteri bahawa mereka ingatkan yang mereka undi pada hari itu adalah untuk memberi Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri tempoh berkhidmat untuk tempoh 10 tahun.

“Kami juga tidak tahu bagaimana pihak pembangkang boleh salah faham dalam isu tersebut, walhal seharusnya semua ahli Parlimen memahami bahawa usaha ini adalah untuk memastikan tidak lagi berlaku satu keadaan di mana Perdana Menteri berasa bahawa dia akan dan boleh melakukan apa sahaja kerana dia berkuasa sehingga bila-bila.

“Jadi saya juga berharap dalam sidang akan datang pihak pembangkang akan bersama-sama dengan pihak kerajaan untuk memastikan pindaan Perlembagaan ini yang tidak bersifat partisan, hanya akan menguntungkan demokrasi negara kita akan diluluskan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN