Rumah tangga saya okey -Yusuf Bahrin - Utusan Malaysia

Rumah tangga saya okey -Yusuf Bahrin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelakon, Yusuf Bahrin, 33, menafikan sekeras-kerasnya dakwaan kononnya rumah tangganya dengan penyanyi dan aktivis, Zizi Kirana, 41, sedang bergolak.

Kata Yusuf atau Muhammad Yusuf Bahrin, dakwaan yang ditimbulkan hanya sekadar spekulasi liar dan tidak berasas.

“Alhamdulillah, kami okey. Semua dalam keadaan baik. .

“Saya pun tidak faham kenapa spekulasi ini timbul. Mungkin disebabkan kami tidak lagi memuat naik gambar bersama dalam media sosial.

“Tapi takkanlah kami kena ikut kehendak orang lain, muat naik gambar kami untuk puaskan hati netizen. Itu bukan cara kami.

“Yang pasti, rumah tangga saya okey dan tiada apa yang perlu saya jelaskan mengenainya,” katanya.

Yusuf berkata demikian pada sidang media iklan raya dan majlis berbuka puasa anjuran LOL Entertainment, semalam.

Jelasnya, dia dan isteri sehingga sekarang tetap memilih untuk tidak berkongsi sebarang kandungan bersama di media sosial.

“Memang kami sengaja tidak berkongsi gambar atau video bersama, hanya fokus kepada kerja masing-masing. Kami lebih selesa begitu,” ujarnya.

Pelakon drama Mencari Isteri Sempurna itu dalam masa sama mengakui biasa berhadapan telahan liar mengenai rumah tangganya, justeru lebih memilih untuk berlapang dada dan enggan mengendahkan spekulasi yang  bertebaran.

“Awal dahulu kami terkejut juga sehinggakan tidak tahu reaksi bagaimana harus kami berikan terhadap telahan-telahan yang diada-adakan ini.

“Tetapi sekarang ini Kami sudah lali dengan keadaan ini. Siapapun boleh membuat spekulasi.

“Kita mudah berprasangka apabila melihat orang lain seperti ditimpa masalah. Sedangkan kita tak tahu apa yang sebenarnya mereka hadapi.

“Apa pun, itu tetap tidak menjadi masalah bagi saya. Spekulasi yang ditimbulkan biarlah kekal sebagai spekulasi sahaja,” katanya lagi.

Yusuf dalam pada itu menegaskan dia tidak pernah menghalang mana-mana individu untuk berteka teki mengenai perkahwinannya.

“Sekarang Insya-Allah, tiada apa perlu dirisaukan. Saya bersangka baik dengan semua orang, tidak pernah halang sesiapa pun membuat spekulasi tentang perkahwinan saya kerana itu hak masing-masing.

“Saya menganggap mereka sebenarnya prihatin sebab mungkin mereka ini peminat kami. Jadi mereka ambil berat.

“Perkara itu bagus, sebab kami perlukan doa orang ramai. Kami minta kesejahteraan dan kebaikan. Itu doa yang saya perlukan dari mereka,” jawabnya.

Yusuf dan Zizi atau Nur Fazelah @ Zizie Mad Tahil sah bergelar sah bergelar suami isteri pada September 2021. Pasangan ini belum dikurniakan cahaya mata. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN