PUTRAJAYA: Kedutaan Malaysia di Abu Dhabi dan Konsulat Jeneral Malaysia di Dubai sedang mengatur penyelarasan bagi rakyat Malaysia yang terjejas akibat gangguan penerbangan susulan pengumuman pembukaan laluan udara selamat di Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Kementerian Luar memaklumkan, ia khususnya mereka yang menunggu pengaturan perjalanan seterusnya termasuk pengumuman Malaysia Aviation Group berhubung penyambungan semula sementara penerbangan ke dan dari Jeddah serta Madinah bermula hari ini hingga 8 Mac.
Katanya, Perwakilan Diplomatik Malaysia sedang berurusan dengan pihak berkuasa berkaitan serta pihak berkepentingan operasi bagi mendapatkan penjelasan lanjut mengenai pelaksanaannya.
“Ini termasuk memudahkan perjalanan seterusnya secara teratur apabila keadaan mengizinkan.
“Pegawai konsular turut meneruskan penilaian kebajikan dan keperluan berasaskan situasi, dengan keutamaan diberikan kepada mereka yang mengalami tempoh transit yang berpanjangan atau berdepan pengaturan penginapan yang bersifat sementara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Wisma Putra berkata, Konsulat Jeneral Malaysia di Jeddah juga terus memantau keadaan melibatkan jemaah Umrah Malaysia yang terjejas akibat gangguan perjalanan.
Katanya, pegawai konsular kekal berhubung dengan pihak berkaitan bagi menyokong pengaturan kebajikan sementara sambil memantau perkembangan berkaitan penyambungan semula operasi penerbangan komersial yang melibatkan Jeddah dan Madinah secara berperingkat.
Pada masa sama, Perwakilan Diplomatik Malaysia di Oman, Qatar dan Bahrain turut memantau rakyat Malaysia yang terjejas akibat gangguan ruang udara serantau, termasuk mereka yang berada dalam transit atau menunggu pengaturan perjalanan baharu.
“Pegawai konsular kekal berhubung dengan rakyat Malaysia yang berdaftar serta menyalurkan panduan konsular dan semakan kebajikan mengikut keperluan.
“Di negara-negara terjejas lain termasuk Iran, Iraq, Lubnan, Jordan dan Syria, Perwakilan Diplomatik Malaysia kekal berhubung dengan rakyat Malaysia yang berdaftar, termasuk pelajar.
“Rakyat Malaysia yang telah berkomunikasi dengan Perwakilan dilaporkan selamat dan dinasihatkan supaya terus berwaspada serta mematuhi panduan pihak berkuasa tempatan,” katanya.
Dalam pada itu, pihak kementerian terus mengemas kini rekod rakyat Malaysia di rantau terjejas melalui sistem e-Konsular serta bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan Tinggi bagi memantau kebajikan pelajar Malaysia.
Katanya, rakyat Malaysia yang belum berbuat demikian digalakkan untuk mendaftarkan keberadaan mereka melalui e-Konsular di https://ekonsular.kln.gov.my.
“Rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan konsular adalah digalakkan untuk menghubungi Perwakilan Diplomatik Malaysia terdekat melalui nombor telefon dan alamat e-mel rasmi yang telah disediakan sebelum ini.
“Bilik Operasi Kementerian di Putrajaya kekal diaktifkan sepenuhnya dan beroperasi 24 jam sehari dan boleh dihubungi di talian +603-8887 4570 atau melalui e-mel di [email protected] sekiranya bantuan lanjut diperlukan,” katanya. – UTUSAN










