RM45.8 juta pacu industri lada negara di bawah RMK13 - Utusan Malaysia

RM45.8 juta pacu industri lada negara di bawah RMK13

NORAINI AHMAD (kiri) melihat pameran produk hiliran industri lada ketika hadir dalam Majlis Berbuka Puasa Bersama Menteri Perladangan dan Komoditi di Batu Pahat, malam tadi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BATU PAHAT: Kerajaan memperuntukkan RM45.8 juta bagi pelaksanaan pelbagai program pembangunan industri lada di bawah Rancangan Malaysia ke 13 (RMK-13), peningkatan sebanyak 114 peratus atau RM21.4 juta berbanding tahun sebelumnya.

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad berkata, peningkatan itu mencerminkan keyakinan kerajaan terhadap potensi lada sebagai sektor pertanian bernilai tinggi kepada ekonomi negara dan komuniti pekebun kecil.

Katanya, sebanyak 10 projek pembangunan strategik merangkumi keseluruhan rantaian nilai industri lada akan dilaksanakan pada tahun ini.

“Pembangunan melibatkan sektor huluan seperti penanaman, peningkatan produktiviti dan pengurusan ladang sehinggalah sektor hiliran termasuk pemprosesan, inovasi produk serta pengembangan pasaran.

“Manakala bagi pekebun kecil, peningkatan peruntukan ini akan memberi manfaat melalui pelbagai inisiatif seperti peningkatan produktiviti kebun lada melalui bantuan pembangunan kawasan tanaman baharu serta pengurusan kebun lada matang,” katanya kepada pemberita semasa Majlis Berbuka Puasa Bersama Menteri Perladangan dan Komoditi di sini, malam tadi.

Tambah Noraini, projek lain termasuk pembangunan akses kepada teknologi dan amalan pertanian moden, penggunaan aplikasi digital dan kaedah pengurusan tanaman yang lebih efisien.

“Langkah ini berperanan mengurangkan kos pengeluaran melalui pembangunan input alternatif dan sokongan teknikal kepada pekebun. Ini secara tidak langsung memberi peluang mereka meningkatkan pendapatan melalui pengembangan industri hiliran serta pembangunan produk nilai tambah berasaskan lada.

“Pendekatan yang lebih menyeluruh ini akan memastikan industri lada Malaysia menjadi lebih moden, berdaya tahan dan mampu bersaing di peringkat global. Pada masa sama memastikan manfaat ekonomi lebih besar dapat dinikmati komuniti pekebun kecil di seluruh negara,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN