Rivertree bangunkan kuarters pekerja di Lembah Klang bernilai RM600 juta - Utusan Malaysia

Rivertree bangunkan kuarters pekerja di Lembah Klang bernilai RM600 juta

HIZZAN Hamid (dua dari kiri), bersama Simon David Leong (tenga) pada majlis menandatangani Perjanjian Dasar (HoA) pembangunan CLQ di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Catenary Capital Sdn. Bhd. memeterai Perjanjian Dasar (HoA) bersama Rivertree STF Synergies Berhad (RSSB) bagi membangunkan kemudahan Penginapan Pekerja Berpusat (CLQ) di Lembah Klang dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM600 juta.

Projek tersebut merangkumi pembinaan empat fasiliti CLQ yang mampu memuatkan sehingga 28,800 katil, sebagai menyahut permintaan tinggi terhadap penginapan pekerja yang mematuhi Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446).

Kerjasama itu turut melibatkan Q Centre Management Sdn. Bhd. (QCM) yang akan bertindak sebagai pengendali operasi fasiliti berkenaan setelah siap kelak.

Rakan Kongsi Pengasas Catenary Capital, Hizzan Hamid berkata, pelaburan sulung firma itu mencerminkan strategi untuk menyalurkan modal institusi ke dalam segmen hartanah yang mengalami kekurangan bekalan ketara.

“Akta 446 telah mewujudkan rangka kerja pematuhan yang lebih jelas dan majikan kini berada di bawah penelitian lebih ketat untuk memastikan piawaian penginapan dipenuhi.

“Pada masa yang sama, pangkalan industri Selangor terus berkembang, namun wujud jurang bekalan yang nyata untuk fasiliti yang diuruskan secara profesional di koridor pertumbuhan utama seperti Klang,” katanya dalam kenyataan.

Projek pertama di bawah kerjasama ini, Q Centre di Teratai di Meru, Klang, akan menyediakan 9,000 katil dengan nilai pembangunan dianggarkan RM171 juta.

Tiga lagi projek tambahan dengan nilai RM429 juta dijangka menyediakan 19,800 katil lagi, tertakluk kepada pemuktamadan tapak dan perjanjian definitif.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif RSSB, Datuk Simon David Leong berkata, mandat tersebut mengukuhkan kedudukan kumpulan sebagai pemaju infrastruktur CLQ yang dipercayai.

“Kami melihat permintaan struktur yang kuat dalam segmen ini memandangkan pihak industri kini mengutamakan penyelesaian penginapan yang patuh syariah, terurus dan berskala besar.

“Sebagai pemaju serahan kunci (turnkey), kami akan bertanggungjawab terhadap keseluruhan skop reka bentuk dan pembinaan bagi memastikan pelaksanaan yang berdisiplin serta penghantaran tepat pada masanya,” jelas beliau.

Nilai pembangunan RM600 juta itu dijangka memberikan kejelasan pendapatan yang kukuh kepada RSSB bagi tempoh tiga tahun akan datang.

Lembah Klang kekal sebagai koridor industri terbesar negara yang menggaji sebahagian besar daripada kira-kira 2.4 juta tenaga kerja asing berdaftar di Malaysia. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN