Rina Jainal jadikan politik platform khidmat kepada rakyat

Rina Jainal jadikan politik platform khidmat kepada rakyat

RINA JAINAL menyantuni rakyat dalam satu lawatan bertemu penduuddk kawasan Kukusan baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Kejayaan dalam dunia politik tidak semestinya lahir daripada permainan strategi elit atau lobi kuasa, sebaliknya bermula daripada akar umbi yang tulus bersama rakyat seperti pendekatan yang diamalkan ADUN Kukusan Datuk Rina Jainal.

Itulah prinsip yang dipegang oleh Pembantu Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Rina Jainal, seorang pemimpin yang semakin dikenali kerana pendekatan kerja lapangan konsisten dan berjiwa rakyat.

Sejak awal penglibatannya dalam politik, beliau memilih untuk turun padang membantu masyarakat tanpa meletakkan harapan dicalonkan dalam pilihan raya. Baginya, khidmat bakti bukan tiket mengejar jawatan, tetapi tanggungjawab moral kepada rakyat dan negara.

“Saya bekerja terus daripada akar umbi. Kalau bekerja, jangan mengharap mahu jadi calon. Itu pendekatan saya,” katanya.

Pendekatan itu bagaimanapun tidak selalu memudahkan perjalanan politiknya.

Rina menganggap kekurangan dirinya daripada segi kemahiran melobi dalam struktur parti menyebabkan beliau berdepan cabaran birokrasi, sekali gus kurang bernasib baik untuk dipilih menjadi calon bertanding dalam pilihan raya.

Sebelum ini, jawatan Timbalan Presiden Parti Harapan Rakyat Sabah (Harapan Rakyat) dan keahlian beliau digantung serta merta. Dalam masa sama, beliau tidak lagi dicalonkan bagi mempertahan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kukusan, di Tawau Sabah.

Berita mengejut itu berlaku 17 hari sebelum Pilhan Raya Negeri ke-17 (PRN 17) diadakan. Namun, hikmah datang dalam bentuktidak disangka apabila beliau bertanding sebagai calon Bebas dan berjaya mempertahankan kedudukannya sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kukusan.

Sokongan itu membuktikan keikhlasan bekerja bersama rakyat mampu membina kepercayaan yang tidak boleh dibeli dengan retorik politik.

“Kalau cakap berpolitik saya memang kurang berpolitik, sebab itu saya mempunyai masalah daripada segi melobi-lobi.

“Tapi ini rezeki saya… hikmahnya apabila bertanding dalam sebagai calon Bebas, di situ saya ada penyokong tegar yang memang mahu saya bertanding dan berjaya pertahankan kerusi,” ujarnya.

Ramai juga menganggap beliau sebagai seorang fighter yang tidak gentar bersuara demi kebenaran. Walaupun seorang wanita yang pastinya mempunyai sifat keibuan, sikap lantangnya itu membolehkannya bertahan lama dalam dunia politik.

Didikan ibu yang menekankan kejujuran dan prinsip hidup menjadi pegangan utamanya. Sebagai wanita dalam arena politik yang didominasi lelaki, anak bongsu daripada sembilan beradik itu turut berdepan pelbagai cabaran daripada segi gerak kerja yang terbatas.

Ada antara ahli politik yang memberi persepsi negatif bahawa beliau kurang pengalaman dalam bidang itu. Bagaimanapun, Rina tidak menafikan ada beberapa tokoh politik yang sudi berkongsi ilmu dan tetap memberi dorongan.

“Ada yang kata saya tidak tahu apa-apa. Tapi ada juga ahli-ahli politik yang positif dan memberi semangat serta berkongsi pengalaman mereka kepada saya.

“Pokok pangkalnya memang kita kena sentiasa merendah diri dan mencari peluang belajar daripada orang yang berpengalaman begitu juga dengan orang baharu mahu menceburi dunia politik,” katanya.

Sebagai Pembantu Menteri KWKKR, beliau menekankan pemerkasaan wanita, khususnya ibu tunggal yang memerlukan sokongan ekonomi. Beliau berusaha membantu menjana pendapatan sampingan dan membuka peluang pekerjaan yang lebih luas.

“Di pejabat dan Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) saya, majoriti tenaga kerja terdiri daripada golongan wanita.

“Sebahagian daripada mereka pula bekerja di luar bidang pengajian yang mereka belajar di universiti, tetapi tetap diberi ruang untuk berkembang,” katanya.

Selain kebajikan wanita, isu infrastruktur turut menjadi perjuangan utama beliau.

 

Rina Jainal
Tarikh lahir: 1 September 1981
Jawatan terkini: Ahli Dewan Undangan Negeri Sabah (N70 Kukusan) merangkap Pembantu Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah .
Pendidikan:
 1988–1993: SK Tg Batu Tawau
 1994–1998: SMK Kuhara Tawau
 1999–2000: Matrikulasi Komunikasi Massa, ITM Shah Alam
 2001–2003: Ijazah Komunikasi & Pengajian Media (Periklanan), UiTM Shah Alam
Kerjaya Politik:
 2017: Ketua Wirawati Penaja Parti Warisan Sabah P191 Kalabakan
 2018: Penyelaras/Penceramah Kempen PRU14 Parti Warisan Sabah, Bahagian P191 Kalabakan
 2019: Penolong Pegawai Perhubungan Parlimen P191 Kalabakan
 2019: Ketua Wirawati Bahagian Kalabakan
 2019: Naib Ketua Wirawati Pusat
 2020: Calon PRN Sabah 2020 Parti Warisan
 2020: Ahli Dewan Undangan Negeri N70 Kukusan
 2022: Timbalan Presiden Parti Harapan Rakyat Sabah
 2023: Setiausaha Politik Kementerian Kewangan Negeri Sabah
 2024: Ahli Majlis Tertinggi GRS

 

“Naik taraf Jalan Utara di daerah ini yang dahulunya sempit dan sesak, kini bakal membawa perubahan besar kepada kelancaran perhubungan penduduk.

“Masalah pakaian seragam sekolah yang sebelum ini tidak memenuhi piawaian kualiti juga berjaya ditangani dengan pertukaran pembekal selepas saya suarakan.

“Dalam masa sama, saya turut berusaha susun semula penempatan penjaja yang terkesan akibat naik taraf jalan bagi memastikan kebajikan mereka terus terpelihara,” ujarnya lagi.

Memandang ke hadapan, beliau meletakkan digitalisasi sebagai agenda penting untuk generasi belia. Beliau mahu anak muda memanfaatkan teknologi bagi mencari peluang pekerjaan dan sumber pendapatan baharu.

“Bidang seperti pengaturcaraan, teknologi maklumat dan pengurusan data dilihat sebagai masa depan ekonomi.

“Penggunaan kecerdasan buatan (AI) sebagai alat menjana peluang perniagaan jika digunakan dengan bijak. Sebagai contoh teknologi seperti ChatGPT mampu membuka ruang ekonomi digital yang luas,” tambahnya.

Di DUN Kukusan pula, Rina merancang penubuhan Pusat Komuniti Wanita sebagai hab sokongan ekonomi dan sosial. Walaupun projek itu belum direalisasikan, beliau menyasarkan pelaksanaannya dalam tempoh lima tahun akan datang. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN