SUBANG JAYA: Pesakit yang menghidapi buah pinggang kronik (CKD) disaran menjalani penilaian kesihatan terlebih dahulu sebelum berpuasa bagi mengelakkan risiko kemerosotan fungsi buah pinggang akibat dehidrasi, perubahan diet serta gangguan pengambilan ubat sepanjang Ramadan.
Pakar Nefrologi dan Pemindahan Buah Pinggang di Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway (SMC), Dr. Rosnawati Yahya berkata, tempoh berpuasa yang panjang tanpa pengambilan air merupakan faktor utama yang boleh mencetuskan dehidrasi dan seterusnya menurunkan fungsi buah pinggang terutama dalam kalangan pesakit CKD berisiko tinggi.
Menurutnya, pesakit CKD perlu dinilai berdasarkan kadar penapisan glomerular (GFR) yang menggambarkan baki fungsi buah pinggang sebelum keputusan berpuasa dibuat.
“Pesakit CKD tahap 1 dan 2 biasanya berada dalam kategori selamat untuk berpuasa, manakala tahap 3 dianggap risiko sederhana dan memerlukan pemantauan rapi. Bagi CKD tahap 4 dan 5, kebiasaannya kita nasihatkan tidak berpuasa kerana penurunan fungsi buah pinggang boleh berlaku dengan cepat dan berpotensi tidak pulih,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Beliau menjelaskan, penurunan GFR akibat dehidrasi boleh menyebabkan pesakit yang sebelum ini tidak memerlukan dialisis beralih kepada keperluan rawatan tersebut jika fungsi buah pinggang merosot secara mendadak.
Dalam masa sama, Dr. Rosnawati berkata, pengurusan ubat turut menjadi cabaran kepada pesakit CKD sepanjang Ramadan, khususnya ubat diuretik yang meningkatkan pengeluaran air kencing serta ubat diabetes kumpulan SGLT2 inhibitor yang mempunyai kesan sama.
Katanya, pesakit yang dibenarkan berpuasa biasanya dinasihatkan mengambil ubat berkenaan selepas berbuka bagi mengurangkan kehilangan cecair pada waktu siang, selain memastikan pengambilan air mencukupi dari waktu berbuka hingga sahur.
Beliau turut mengingatkan pesakit CKD supaya berhati-hati terhadap pemilihan makanan berbuka, terutama makanan tinggi kalium seperti kurma, pisang dan buah kering yang boleh mencetuskan hiperkalemia, keadaan berbahaya yang berpotensi menyebabkan gangguan irama jantung.
“Pengambilan kurma sebagai sunnah adalah baik, namun pesakit CKD perlu mengehadkan jumlahnya. Pengambilan berlebihan boleh meningkatkan paras kalium dan mengancam keselamatan pesakit,” katanya.
Mengulas pesakit dialisis yang ingin berpuasa, Dr. Rosnawati berkata, mereka masih boleh melaksanakan ibadah tersebut sekiranya mampu secara fizikal kerana prosedur dialisis tidak membatalkan puasa, namun kawalan cecair serta diet kekal kritikal.
Tambahnya, menu berbuka tempatan yang kaya santan, telur dan makanan berlemak boleh meningkatkan paras fosforus pesakit dialisis, sekali gus memberi implikasi kesihatan jangka panjang jika tidak dikawal.
Beliau turut mencadangkan pesakit memantau berat badan harian sebagai indikator keseimbangan cecair kerana peningkatan atau penurunan berat secara mendadak boleh menandakan pengekalan atau kehilangan air dalam badan.

Sementara itu, Pakar Perubatan Kecemasan, Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway (SMC), Dr. Mohd Khalis Abdul Rahim berkata, Ramadan tidak semestinya menyebabkan peningkatan ketara kes kecemasan buah pinggang, namun corak komplikasi seperti dehidrasi, gangguan elektrolit, pening serta kecederaan buah pinggang akut tetap dilihat dalam kalangan pesakit berisiko.
Menurutnya, pesakit CKD tahap lanjut, warga emas, individu diabetes, pesakit kegagalan jantung serta mereka yang mengambil diuretik merupakan kumpulan yang perlu berhati-hati ketika berpuasa.
“Majoriti komplikasi buah pinggang berkaitan puasa berpunca daripada kekurangan cecair badan dan boleh pulih selepas rehidrasi, tetapi dalam kes tertentu ia boleh menjadi serius terutama jika melibatkan pesakit CKD tahap lanjut,” katanya.
Dr. Khalis berkata, antara tanda amaran yang memerlukan pesakit buah pinggang mendapatkan rawatan segera termasuk dehidrasi yang teruk, pengsan, muntah atau cirit-birit berterusan, sesak nafas atau bengkak badan, sakit dada atau terdapat perubahan status mental seperti keliru atau sawan.
Beliau menambah, ketidakseimbangan elektrolit seperti kalium tinggi atau rendah boleh menyebabkan kelemahan otot, gangguan ritma jantung serta risiko jantung terhenti, manakala gangguan natrium pula boleh menjejaskan tahap kesedaran dan mencetuskan sawan.
Dalam situasi kecemasan, katanya, pesakit akan menjalani penilaian awal di jabatan kecemasan dan rawatan penstabilan diberikan termasuk pemberian cecair intravena, oksigen, ubat sokongan atau dialisis kecemasan sekiranya berlaku komplikasi serius seperti hiperkalemia, asidosis metabolik atau pengumpulan cecair di paru-paru.
Beliau turut menasihatkan ahli keluarga agar mengambil langkah pertolongan awal sementara menunggu bantuan perubatan dengan mendudukkan dan menenangkan pesakit, sentiasa berada bersama pesakit dan jika pesakit menjadi tidak sedar, perlu periksa respons dan memulakan CPR jika terlatih.
Kedua-dua pakar berkenaan menegaskan pesakit buah pinggang kronik perlu berbincang dengan doktor sebelum berpuasa, mematuhi diet rendah garam, mengawal pengambilan cecair, mengambil ubat mengikut jadual serta peka terhadap tanda amaran kesihatan sepanjang Ramadan.
Menurutnya, kelonggaran agama diberikan kepada individu yang berisiko memudaratkan kesihatan, justeru keselamatan pesakit perlu menjadi keutamaan dalam memastikan ibadah puasa dapat dilaksanakan secara selamat. – UTUSAN










