KOTA BHARU: Ratusan penduduk berhimpun di pekarangan masjid di seluruh negeri bagi mengadakan solat sunat Istisqa hari ini.
Pelaksanaan itu selaras dengan arahan dikeluarkan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik), melibatkan semua masjid negeri, bandar dan jajahan.
Imam Besar Maik Muhammad Hana Pizi Abdullah berkata, solat itu bertujuan memohon diturunkan hujan sekali gus meredakan cuaca panas yang sedang melanda negeri ketika ini.
“Alhamdulillah, hari ini kita (Maik) mengarahkan agar semua Masjid Negeri, Bandar dan Jajahan Negeri Kelantan mengadakan Solat Istisqa’.
“Semoga permohonan kita diperkenankan oleh Allah,” katanya dalam satu kenyataan ringkas di sini hari ini.
Sementara itu, lebih 40 jemaah menunaikan solat sunat berkenaan di Masjid Jamek Muhammadi.
Solat sunat itu diimamkan oleh Imam Tua Hairul Azizi Mokhtar.
“Syukur pagi ini Masjid Jamek Muhammadi Kota Bharu telah selesai melaksanakan suatu amalan sunnah Rasulullah iaitu solat sunat Istisqa,” ujarnya.-UTUSAN











