Raja Muda Selangor berkenan terima zakat perniagaan Pintas Utama RM3 juta

Raja Muda Selangor berkenan terima zakat perniagaan Pintas Utama RM3 juta

RAJA Muda Selangor berkenan menerima serahan zakat perniagaan berjumlah RM3 juta daripada Zainudin Karjan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CYBERJAYA: Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah, berkenan menerima bayaran zakat perniagaan berjumlah RM3 juta daripada syarikat korporat, Pintas Utama Sdn Bhd.

Penyerahan itu dibuat pada Majlis Berbuka Puasa Raja Muda Selangor Bersama Rakyat dan Penyampaian Sumbangan Hari Raya 1447H yang berlangsung di Masjid Raja Haji Fisabilillah, di sini, semalam.

Penyerahan disempurnakan Pengerusi Eksekutif Pintas Utama Sdn Bhd, Tan Sri Zainudin Karjan.

Ia mencerminkan keprihatinan dan komitmen berterusan syarikat dalam menunaikan kewajipan zakat serta menyumbang semula kepada pembangunan sosioekonomi umat Islam, khususnya di Selangor.

Menurut Zainudin, setiap kejayaan yang diperoleh syarikat bukan sekadar hasil usaha dan perancangan strategik, tetapi amanah yang perlu ditunaikan dengan penuh tanggungjawab.

“Sebagai umat Islam, haruslah percaya bahawa dalam setiap rezeki yang dikurniakan, terdapat hak mereka yang memerlukan.

“Justeru, pembayaran zakat ini bukan sahaja sebagai memenuhi tuntutan agama, malah tanggungjawab sosial korporat untuk membantu memperkukuh kesejahteraan masyarakat dan menyumbang kepada pembangunan ummah secara menyeluruh,” katanya dalam kenyataan.

Beliau menjelaskan, Pintas Utama terus komited dalam melaksanakan tanggungjawab dan pelbagai inisiatif kebajikan pada masa depan sebagai sebahagian usaha berterusan syarikat untuk memberi impak positif kepada masyarakat.

Zakat yang diserahkan itu akan disalurkan kepada golongan asnaf melalui institusi zakat Selangor, termasuk membantu meningkatkan taraf hidup mereka merangkumi aspek kebajikan, pendidikan, kesihatan serta pembangunan ekonomi, selaras usaha memperkasa kehidupan umat Islam secara mampan.

Pada majlis itu, Tengku Amir turut berkenan menyampaikan sumbangan Aidilfitri kepada golongan asnaf serta menunaikan solat maghrib, isyak dan tarawih secara berjemaah bersama rakyat. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN