PETALING JAYA: Bulan Syawal harus diraikan dengan penuh keserdehanaan dan kesimbangan, tanpa pembaziran.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau menitipkan pesanan itu semasa meninjau ke Absolut Bazaar X Festival Gaya Raya selepas lawatan kerjanya di Kuching, Sarawak.
“Kesempatan yang ada ini saya gunakan dengan menyantuni para peniaga dan pengunjung, bertanya khabar serta mendengar pandangan mereka mengenai harga dan sambutan terhadap produk yang ditawarkan.
“Antara pesanan yang saya titipkan, kehadiran Syawal seharusnya diraikan dengan penuh kesederhanaan dan keseimbangan dengan menghargai makna sebenar hari kemenangan yang menekankan kesyukuran, kebersamaan dan keprihatinan terhadap satu sama lain,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.
Sementara itu, Anwar berkata, beliau berbangga melihat banyak produk dan jenama tempatan di festival membeli-belah tersebut.
“Saya juga bangga melihat begitu banyak produk serta jenama tempatan, daripada pakaian, makanan, aksesori hingga aneka juadah dan cenderamata, yang mencerminkan kreativiti serta daya usaha usahawan tempatan.
“Inisiatif seperti ini menyokong pertumbuhan perusahaan kecil dan sederhana, sekali gus merancakkan ekonomi negara,” katanya.
Tambahnya, beliau mengharapkan kehadiran Syawal kelak membawa keberkatan, mempererat ukhuwah dan menyemarakkan lagi semangat kebersamaan dalam kalangan rakyat. – UTUSAN










