Raih 9A SPM, anak pekerja kilang mahu ubah nasib keluarga - Utusan Malaysia

Raih 9A SPM, anak pekerja kilang mahu ubah nasib keluarga

WAN Aleya Batrisyia Meor Ruslan (tengah) meraih 9A dalam peperiksaan SPM 2025 menunjukkan slip keputusan kepada ibu bapanya di SMK Raja Permaisuri Bainun, Ipoh hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Tekad untuk mengubah nasib keluarga mendorong anak kepada pasangan pekerja kilang tekun belajar sehingga memperoleh keputusan cemerlang 9A (6A+ dan 3A) dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025.

Wan Aleya Batrisyia Meor Ruslan, 18, berkata, kejayaannya memperoleh keputusan cemerlang itu bukan hanya disebabkan oleh kerja kerasnya malah ia didorong oleh pengorbanan ibu bapa yang bekerja keras untuk menyara keluarga.

Katanya, meskipun ibu bapanya bukan dalam kalangan golongan berada, mereka berjaya mendidiknya untuk terus berusaha dan menjadi insan yang lebih baik.

“Emak dan ayah saya kerja biasa-biasa sahaja. Mereka bukanlah orang yang hebat tetapi berusaha mendidik saya untuk menjadi orang yang hebat.

“Mereka adalah penyebab untuk saya buat yang terbaik dalam hidup,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penyerahan Slip Keputusan SPM di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Raja Permaisuri Bainun, di sini hari ini.

Menurut anak sulung daripada tiga beradik itu, dia bersyukur apabila usaha kerasnya selama ini membuahkan hasil sekali gus menjadi hadiah bermakna untuk ibu bapanya.

Katanya, dengan kejayaan tersebut, ia diharap menjadi permulaan awal untuknya mengejar kejayaan lebih besar pada masa hadapan.

“Kami sekeluarga duduk di rumah sewa sejak 19 tahun lalu iaitu sejak saya kecil. Saya bersyukur dengan apa yang mereka sediakan namun saya berazam untuk berikan kesenangan dan belikan rumah baharu untuk mereka.

“Sebagai anak sulung, sudah tentu saya adalah harapan tinggi keluarga. Jadi, saya ambil peluang ini untuk buktikan kepada semua yang saya boleh berjaya dan menjadi contoh yang baik untuk adik-adik,” katanya.

Dalam pada itu mengulas mengenai caranya belajar, Wan Aleya Batrisyia berkata, dia menggunakan pendekatan berbeza bagi memastikan setiap mata pelajaran dapat difahami dengan baik.

Malah katanya, mengulang kaji pada awal pagi juga membantunya meningkatkan kefahaman khususnya subjek berat seperti fizik dan hafalan seperti sejarah.

“Contohnya sejarah, saya suka bercerita dengan kawan-kawan. Bagi saya bercerita lebih mudah untuk ingat berbanding baca dalam buku teks. Kalau matematik pula, tiada cara lain selain banyak membuat latihan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN