Que Haidar segan tiap kali jumpa Fazura, anggap sahabat lama - Utusan Malaysia

Que Haidar segan tiap kali jumpa Fazura, anggap sahabat lama

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelakon, Que Haidar menegaskan hubungannya dengan selebriti popular, Nur Fazura sekadar persahabatan lama yang kembali terjalin selepas sekian lama tidak bertemu.

Que atau Tengku Iskhan Shah Tengku Haidar, 46, berkata mereka sebenarnya memulakan perjalanan dalam industri seni pada tempoh yang hampir sama, sekali gus menjadikan hubungan itu terikat dengan banyak kenangan awal kerjaya.

“Memang kami bersahabat. Fazura ialah sahabat lama yang sudah lama tidak berjumpa dan kami memasuki industri ini dalam tempoh yang lebih kurang sama.

“Pada tahun yang sama juga kami pernah tercalon dalam kategori Pelakon Lelaki dan Pelakon Wanita Harapan. Saya menerusi filem KL Menjerit, manakala dia pula melalui filem Bicara Hati,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sidang media program Raya Astro 2026 yang berlangsung di sebuah hotel di ibu negara, semalam.

Dalam nada berseloroh, Que mengakui tetap berasa sedikit segan setiap kali berhadapan Fazura selepas sekian lama beliau menjauhkan diri daripada dunia hiburan.

Menurutnya, perasaan itu hadir kerana melihat kejayaan besar yang dikecapi sahabat lamanya itu hari ini.

“Bila jumpa semula, mestilah ada rasa malu-malu. Maklumlah saya sudah lama meninggalkan industri.

“Kadang-kadang saya terfikir juga, ‘wow, besarnya nama awak sekarang’, sedangkan saya rasa nama saya kecil sahaja,” ujarnya.

Mengulas reaksi peminat yang seakan memberi restu sekiranya hubungan mereka melangkah ke fasa lebih serius, Que memilih untuk melihat perkara itu dari sudut positif tanpa terlalu memikirkan spekulasi yang timbul.

Katanya, selagi gurauan itu mampu menceriakan orang ramai, dia tidak kisah untuk melayan sahaja telatah peminat.

“Kalau orang gembira, Alhamdulillah. Kalau perkara ‘kenen-kenen’ ini buat orang gembira atau boleh hilangkan keresahan mereka, saya okey sahaja.

“Kita tidak perlu fikir terlalu berat. Kalau saya beratkan, ia jadi berat. Kalau saya ringankan, ia jadi ringan. Jadi saya layan sahaja,” katanya.

Terdahulu, keakraban Que dan Fazura menjadi perhatian ramai selepas kedua-duanya bekerjasama mempromosikan sebuah jenama pakaian tempatan.

Malah, Que pernah menghadiahkan sejambak bunga mawar kepada Fazura selain mereka turut dilihat mengunjungi bazar Ramadan bersama.

Interaksi mesra mereka yang saling berbalas komen di aplikasi Threads turut mengundang perhatian peminat sehingga tercetus tanda pagar khas #QueLaFaz, sekali gus membuatkan ramai mula ‘menjodohkan’ pasangan sahabat itu. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN