Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menyemarakkan semangat kebersamaan dan berkongsi rezeki bersama warga institusi pendidikan serta komuniti setempat menerusi Program Imarah Ramadan PTPTN (IMRAN) Tahun 2026.
Program dimulakan dengan perasmian yang disempurnakan oleh Pengerusi PTPTN, Datuk Seri Norliza Abdul Rahim di Politeknik Banting, Selangor.

Turut hadir Ahli Lembaga Pengurusan PTPTN, Datuk Seri Abdul Razak Jaafar ; Pengarah Bahagian Ambilan dan Pembangunan Pelajar, Jabatan Pendidikan Politeknik dan
Kolej Komuniti KPT, Azirin Abdul Aziz; Ketua Pegawai Operasi PTPTN, Mastura Mohd. Khalid dan Pengarah Politeknik Banting, Ibrahim Burhan, Pengurusan PTPTN serta kakitangan dan pelajar-pelajar Politeknik Banting.
Program IMRAN merupakan program signature di bawah inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) PTPTN yang telah dilaksanakan 2021. Matlamat program tersebut adalah mengeratkan silaturrahim serta memperkukuh hubungan baik antara PTPTN dengan pelajar dan institusi pendidikan.
Program berkenan berlangsung dengan skala yang lebih besar berbanding tahun sebelumnya bermula 24 Februari hingga 13 Mac ini.
PTPTN akan menjelajah ke lima zon meliputi tujuh lokasi seluruh negara iaitu Zon Tengah di Politeknik Banting dan City Universiti, Zon Utara di Politeknik Ungku Omar, Zon Timur di Politeknik Kota Bharu dan Zon Selatan di Politeknik Ibrahim Sultan.

Norliza Abdul Rahim (kanan), merasmikan Program Imarah Ramadan PTPTN (IMRAN) di Politeknik Banting, Selangor baru-baru ini.
Bagi Zon Borneo pula, program akan diadakan di Politeknik Kota Kinabalu dan Universiti Putra Malaysia (UPM) Sarawak. 2 5.
Dalam pada itu Norliza berkata, IMRAN membantu semarak budaya kongsi rezeki.
“Program IMRAN bukan sahaja menyemarakkan budaya berkongsi rezeki, mengeratkan silaturahim antara PTPTN dan Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) serta memperkukuh persepsi positif masyarakat terhadap peranan PTPTN. ” ujarnya
Melalui program IMRAN, kakitangan Politeknik, Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), pelajar serta kakitangan PTPTN bersama-sama bergotong-royong untuk penyediaan makanan berbuka puasa
Norliza berkata, selain program tersebut, turut diadakan penyampaian sara hidup melalui Bantuan Lestari Siswa MADANI kepada tiga pelajar yang kurang berkemampuan.
Dalam majlis yang diadakan di Politeknik Banting itu, seramai tiga orang pelajar menerima bantuan sekali bayar (one-off) sebanyak RM500 setiap seorang yang dikreditkan terus ke akaun bank pelajar.
“Selain itu, turut disampaikan Sumbangan Kit Kasih PTPTN dalam bentuk kotak makanan kepada 20 kakitangan politeknik yang memerlukan bagi meringankan beban keperluan harian mereka dalam bulan yang mulia ini,” ujar Norliza.
PTPTN sentiasa prihatin terhadap isu kebajikan pelajar, justeru berharap Program IMRAN akan terus dilaksanakan sebagai platform kebajikan dan jaringan kerjasama dengan institusi pendidikan bagi memberikan impak positif kepada semua pihak.
PTPTN yang merupakan agensi di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan terus komited dalam meningkatkan pelaksanaan program-program CSR terutamanya dalam aspek pendidikan demi pembangunan anak bangsa selari dengan moto PTPTN, Peluang Kejayaan Anda dan tagline PTPTN Prihatin : Kami Kongsi, Kami Bantu.- UTUSAN










