PUTRAJAYA: Proses mengumpul maklum balas dan menambah baik Rang Undang-Undang (RUU) bagi mengasingkan peranan bidang kuasa Peguam Negara dan Pendakwa Raya dijangka mengambil masa kira-kira tiga bulan.
Jurucakap kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, perkara itu dimaklumkan menerusi mesyuarat Jemaah Menteri pada hari ini.
Menurutnya, jawatankuasa dipengerusikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said akan mengadakan mesyuarat pertama yang dijadualkan pada 16 Mac ini.
“Proses ini dijangka untuk meneliti pandangan, mengumpul maklum balas serta usaha bagi menambah baik rang undang-undang tersebut dan akan mengambil masa sekitar tiga bulan,” katanya menerusi sidang akhbar mingguan di sini hari ini.
Semalam, media melaporkan, RUU Perlembagaan (Pindaan) (No.2) 2026 bertujuan mengasingkan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya, dirujuk ke Jawatankuasa Pilihan Khas Dewan Rakyat.
Azalina membawa usul itu selepas bacaan kali kedua RUU berkenaan bagi memberi ruang kepada semua pihak berkaitan memperhalusi dan meneliti RUU tersebut. – UTUSAN










