Polis terima dua laporan babit kes Cikgu Chandra - Utusan Malaysia

Polis terima dua laporan babit kes Cikgu Chandra

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Dua laporan polis diterima berhubung insiden khianat serta ugutan jenayah terhadap aktivis, S. Chandrasegaran, 47, di Taman Kinrara, Puchong dekat sini.

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, bagi insiden pertama siasatan dijalankan di bawah Seksyen 427 dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat serta ugutan jenayah.

Katanya, bagi insiden kedua pula, kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan berhubung kejadian khianat dengan api yang melibatkan sebuah kenderaan di lokasi sama.

“Polis sedang menjalankan siasatan terperinci daripada pelbagai sudut bagi mengenal pasti motif serta individu yang terlibat dalam kedua-dua kejadian tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, orang ramai diminta memberi ruang sepenuhnya kepada polis bagi melengkapkan proses siasatan.

Shazeli turut mengingatkan masyarakat agar tidak membuat sebarang spekulasi atau provokasi yang boleh menjejaskan keharmonian kaum serta ketenteraman awam.

“Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu yang didapati melanggar undang-undang.

“Mana-mana pihak yang mempunyai maklumat berkaitan diminta tampil menyalurkan maklumat di balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN