AMPANG : Sebanyak 19 motosikal yang ditunggang sekumpulan remaja disita polis selepas mereka dipercayai berkumpul dan membuat bising ketika penduduk sedang menunaikan solat sunat tarawih di Taman Ampang Saujana, di sini pada Sabtu lalu.
Operasi dijalankan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya bermula pukul 9 malam.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Khairul Anuar Khalid berkata, kebanyakan motosikal yang disita melakukan kesalahan pengubahsuaian pada struktur kenderaan selain penunggang yang tiada lesen memandu.
“Selain itu, sebanyak 40 keping saman telah dikeluarkan di atas pelbagai kesalahan trafik yang lain,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Katanya, operasi yang berakhir pada pukul 1 pagi itu menumpukan kawasan aduan tersebut bagi mengekang dan membanteras aktiviti-aktiviti tidak sihat daripada berlarutan dan bertujuan bagi mewujudkan lagi suasana harmoni di sepanjang bulan Ramadan.
Tambahnya, polis mengingatkan khususnya kepada ibu bapa supaya sentiasa memantau pergerakan anak-anak terutama bagi remaja di bawah umur supaya mencegah mereka daripada menunggang atau memandu kenderaan tanpa lesen memandu.
“Syarat utama untuk menunggang atau memandu kenderaan mestilah mempunyai lesen memandu yang sah, sekiranya tiada ia merupakan satu kesalahan di sisi undang-undang.
“Selain daripada tindakan kompaun kepada individu yang tiada lesen memandu, pemilik kenderaan juga boleh ambil tindaka di bawah Seksyen 26(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya.-UTUSAN










