BUKIT MERTAJAM : Polis mengesahkan bahawa kematian seorang bayi lelaki berusia empat bulan di sebuah taska dalam kawasan Hospital Seberang Jaya (HSJ) di sini pada 9 Mac lalu adalah berpunca daripada lemas.
Perkara itu dinyatakan oleh Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail ketika ditanya mengenai perkembangan siasatan kes tersebut ketika ini.
“Pemeriksaan awal oleh doktor telah mengesahkan bahawa punca kejadian itu (kes kematian bayi di taska) adalah disebabkan oleh lemas,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas melancarkan Op Selamat 26 Hari Raya Aidilfitri 2026 Peringkat Kontinjen Pulau Pinang di Plaza Tol Juru di sini, hari ini.
Dalam kejadian itu, bayi berkenaan, Hayl Haarith Mohd. Syafaeez dijumpai tidak sedarkan diri di taska terbabit sebelum dikejarkan ke hospital, namun, disahkan meninggal dunia ketika sedang menerima rawatan.
Susulan kejadian itu juga, dua pekerja taska wanita telah ditahan bagi membantu siasatan manakala rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang memaparkan insiden tersebut pula tular di media sosial.
Ketika ini, tempoh reman terhadap kedua-dua suspek yang berusia 22 tahun itu telah dilanjutkan sehingga 23 Mac bagi membolehkan siasatan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.










