PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengadakan lawatan khas ke Jakarta, Indonesia esok atas jemputan Presidennya, Prabowo Subianto.
Kementerian Luar dalam kenyataan memaklumkan, lawatan ini bertujuan membincangkan perkembangan geopolitik semasa yang semakin meruncing,
Katanya, ia khususnya konflik di Asia Barat yang memberi kesan langsung kepada kestabilan serantau serta ekonomi global termasuk implikasinya kepada Malaysia dan Indonesia.
“Perkembangan terbaru ini menuntut perbincangan yang menyeluruh, rapi dan bersepadu antara kedua-dua negara dalam menyelaras pendirian serta memperkukuh kerjasama strategik bagi mendepani situasi ini.
“Dalam konteks tersebut, kedua-dua pemimpin dijangka mempergiat usaha diplomasi bagi meredakan ketegangan serta memastikan kelangsungan laluan perdagangan dan rantaian bekalan global yang kritikal kepada kesejahteraan rakyat,” katanya hari ini.
Menurut Wisma Putra, pertemuan ini juga akan menegaskan kepentingan memperkukuh peranan ASEAN sebagai satu blok yang bersatu dan berprinsip.
“Ia agar rantau ini berupaya bertindak secara kolektif dalam memelihara keamanan, kestabilan serantau serta menjamin daya tahan ekonomi dalam suasana ketidaktentuan global,” katanya. – UTUSAN











