PM bidas kenyataan Bersih

PM bidas kenyataan Bersih

ANWAR Ibrahim ketika hadir selapas Program Ihya’ Ramadan bersama Pengurusan Tertinggi JPA di Putrajaya. - UTUSAN/KAMARIAH KHALIDI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini membidas kenyataan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) yang mendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjadi alat politik kerajaan dengan menegaskan bahawa tuduhan sedemikian bersifat tidak adil.

Perdana Menteri berkata, pihak yang membuat tuduhan sepatutnya merujuk atau meneliti laporan berkaitan sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan atau membuat kesimpulan.

“Itu adalah pandangan Bersih lah. Tapi tidak adil untuk Bersih tidak membuat kenyataan yang ‘bersih’. Nak buat tuduhan, tengoklah laporan dulu baru bagi jawapan (kenyataan).

“Kalau tidak, kalau nak pakai sergah begitu saja, saya tidak pertahankan, tapi saya kata dia dah buat jawatankuasa, saya percaya kepada Peguam Negara. Dia bagi laporan, ini (saya) belum terima laporan.

“Ini belum terima laporan, kita tuduh kena ikut selera politik, itu yang dikatakan selera politik. Jangan, bulan Ramadan, apa lagi kita buat menyerang orang. Dapat maklumat dulu kemudian buat keputusan,” katanya ketika ditemui pemberita selapas Program Ihya’ Ramadan bersama Pengurusan Tertinggi Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan Bersih yang mengecam hala tuju SPRM yang didakwa semakin terpesong daripada mandat asalnya untuk membanteras rasuah.

Jawatankuasa Pemandu Bersih dalam satu kenyataan mendakwa agensi penguatkuasaan itu kini dilihat menjadi alat intimidasi politik.

Dakwaan Bersih itu merujuk kepada tindakan SPRM yang sedang mengesan bekas pegawai kepada seorang bekas menteri, dikenali James Chai serta desakan bekas menteri berkenaan ke atas Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki.

Terdahulu, Anwar yang tiba kira-kira pukul 11.15 pagi disambut Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz dan turut diiringi Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.

Ini merupakan lawatan pertama Anwar ke JPA, sekali gus memberi ruang kepada jabatan untuk berkongsi perkembangan serta perkara-perkara strategik berkaitan usaha memperkukuh kecekapan, kemapanan dan reformasi perkhidmatan awam.

Dalam pada itu, beliau menegaskan semua pihak boleh mengkritik mana-mana individu, namun sebarang kritikan harus dibuat secara konsisten.

“Saya tidak pertahankan saya tahu banyak parti semua… ini dianggap kenyataan yang popular. Semua nak bersih apa dia? Yang puluh-puluh bilion yang dicuri selama ini mengapa tak ada suara?

“Boleh kritik siapa pun termasuk Azam Baki. Tetapi biar konsisten, yang dicuri dalam negara ini sudah mencecah puluh bilion yang telah terdedah. Itu saja,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN