Peruntukan RM250,000 untuk lima sekolah di Teluk Intan - Utusan Malaysia

Peruntukan RM250,000 untuk lima sekolah di Teluk Intan

NGA Kor Ming (tengah) menyerahkan peruntukan RM50,000 kepada SK Seri Intan di Teluk Intan hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TELUK INTAN: Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming mengumumkan peruntukan khas berjumlah RM250,000 kepada lima buah sekolah di kawasan Parlimen Teluk Intan hari ini.

Peruntukan tersebut disalurkan bagi tujuan menaik taraf serta membaik pulih kemudahan infrastruktur sekolah bagi mewujudkan persekitaran pembelajaran yang lebih kondusif, selamat dan selesa kepada murid.

Sekolah yang menerima peruntukan ialah Sekolah Kebangsaan Seri Intan, SMK Seri Setia, SJK(C) San Min 1, SJK(C) San Min 2 serta SJK(C) Batu 12 dengan setiap sekolah menerima sebanyak RM50,000.

Inisiatif yang diumumkan sempena lawatan kerja sentuhan Ramadan memberi manfaat secara langsung kepada ratusan murid serta guru di sekitar Teluk Intan.

Kor Ming yang juga Ahli Parlimen Teluk Intan meluangkan masa meninjau fasiliti di SK Seri Intan bagi melihat sendiri keadaan persekitaran pembelajaran serta menyampaikan peruntukan berkenaan kepada pihak sekolah.

“Kerajaan Madani sentiasa komited untuk memastikan tiada sekolah yang terpinggir daripada menerima kemudahan asas yang sempurna.

“Melalui peruntukan tambahan ini, kita berharap ia dapat menyuntik semangat baharu kepada murid-murid untuk menimba ilmu dalam suasana yang lebih baik,” ujar Kor Ming.

Turut hadir Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh dan ADUN Pasir Bedamar, Woo Kah Leong. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN