Perlunya memahami fenomena astronomi di angkasa lepas

Perlunya memahami fenomena astronomi di angkasa lepas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Semalam, 3 Mac 2026 telah berlaku fenomena gerhana bulan penuh bermula pukul 4.:44 petang sehingga jam 10. 22 malam. 

 

Ramai yang telah menyaksikan fenomena tersebut dan tidak kurang yang berkongsi imej gerhana di Internet daripada seluruh dunia yang mengalami fenomena tersebut. 

 

Tidak ketinggalan juga peminat-peminat astronomi di seluruh negara yang telah sama-sama berkongsi fenomena yang menakjubkan itu.

 

 Apa pentingnya memerhatikan fenomena gerhana Bulan ? Pertama, apabila kita perhatikan dengan teliti, warna bayang Bumi yang menutup permukaan Bulan adalah “kemerah-merahan” dan bukannya hitam atau  semata-mata gelap. 

 

Kenapa permukaan Bulan berwarna kemerah-merahan semasa mengalami gerhana ? 

 

Ini kerana cahaya matahari yang melalui atmosfera bumi telah terserak kepada warna-warna pelangi dan warna merah telah menimpa permukaan Bulan ketika gerhana sedang berlaku.

 

Sebenarnya, pemerhatian ke atas warna bayang-bayang Bumi ketika fenomena gerhana Bulan, boleh memberi kita maklumat mengenai tahap pencemaran atmosfera Bumi. 

 

Sekiranya bayang-bayang Bumi berwarna hitam atau lebih gelap daripada  kemerah-merahan, ini bermakna terdapat banyak bahan cemar yang sedang terapung-apung di dalam atmosfera kita.

Ia terdiri daripada sama ada debu, asap atau gas-gas yang menghalang daripada warna merah sampai ke permukaan bulan. 

 

Inilah cara yang mudah lagi murah untuk kita mengenal pasti kebersihan, kejernihan dan keselamatan udara atmosfera Bumi kita iaitu dengan memerhati warna bayang-bayang Bumi semasa gerhana bulan.    

 

Kedua, sebelum dan selepas fasa gerhana penuh, bulan akan mengalami  gerhana fasa separa. 

Ketika fasa separa, hanya sebahagian sahaja permukaan Bulan yang akan tertutup dan kita akan dapati bahawa, sempadan bayang-bayang Bumi ketika fasa separa, akan sentiasa kelihatan berbentuk “melengkung”. 

 

Kita sedia maklum bahawa, bayang-bayang sesuatu objek akan mengikuti bentuk asal objek tersebut.  

 

Sehubungan dengan itu, boleh disimpulkan di sini bahawa, sempadan bayang-bayang Bumi yang berbentuk melengkung menunjukkan bahawa, bumi sebenarnya berbentuk “bulat” atau berbentuk “sfera” jika dilihat dalam tiga dimensi.

 

Maka, jika anda ingin melihat bukti permukaan bumi adalah melengkung atau bukti bahawa Bumi berbentuk sfera, saksikannya semasa fasa separa bagi fenomena gerhana Bulan.

 

Ketiga, satu lagi aspek yang menarik tentang fenomena gerhana bulan ialah, masa bagi kejadian setiap fasa atau perubahan peratus penutupan permukaan bulan yang disediakan oleh ahli-ahli Astronomi dari seluruh dunia. 

 

Ada yang menyatakan bahawa peratus permukaan Bulan akan tertutup sebanyak 50 peratus pada pukul pukul 8:36 malam, ada yang menyatakan pukul 8:37 malam dan mungkin ada juga yang menyatakannya pada 8.38 malam!.

 

Anda berhadapan dengan pelbagai nilai yang berbeza daripada sumber maklumat yang berbeza. 

 

Anda boleh lakukan aktiviti yang menarik dengan berusaha untuk menentusahkan sendiri data-data tersebut. Untuk tujuan tersebut, anda perlu mengetahui dengan tepat takrif bagi penutupan 50 peratus permukaan Bulan dan mencari sumber rujukan bagi waktu piawaian. 

 

Aktiviti seumpama ini akan memperluaskan lagi ruang lingkup pengetahuan, pengalaman dan kemahiran anda berkaitan dengan gerhana. Ini termasuklah usaha untuk menentusahkan waktu-waktu bagi kejadian tertentu dan bukan hanya sekadar menyaksikan fenomena semata-mata. Seperti kata pepatah Melayu, jauh perjalanan, luas pandangan.   – UTUSAN    

 

 

MOHD ZAMRI SHAH MASTOR

Pengarah

Planetarium Negara

Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN