Perkasakan wakaf, ringankan bebanan kediaman pelajar IPT

Perkasakan wakaf, ringankan bebanan kediaman pelajar IPT

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Kemasukan pelajar ke institusi pengajian tinggi (IPT) berlaku secara berterusan setiap tahun.

Kebiasaannya, pelajar akan berada di universiti antara dua hingga empat tahun untuk menamatkan pengajian mereka.

Tempoh yang relatif singkat ini menunjukkan bahawa pelajar memerlukan kemudahan kediaman sementara seperti bilik asrama atau kolej kediaman sepanjang tempoh mereka belajar. Atas faktor kemudahan pergerakan ke kuliah, penglibatan dalam aktiviti universiti, serta kadar sewaan yang lebih rendah berbanding sewaan di luar kampus, ramai pelajar memilih untuk tinggal di kolej kediaman dalam kampus.

Namun, sebahagian IPT berdepan kekangan penyediaan kediaman yang mencukupi, khususnya bagi pelajar senior yang sering tidak mendapat tempat di asrama.

Kebanyakan kolej kediaman hanya mampu menampung pelajar tahun pertama atau tahun akhir, manakala pelajar di pertengahan pengajian perlu mencari alternatif lain.

Keadaan itu membuka ruang kepada komuniti setempat untuk menjana pendapatan melalui penyediaan rumah atau bilik sewa kepada pelajar.

Walau bagaimanapun, tidak dapat dinafikan wujud segelintir pemilik rumah yang mengenakan kadar sewaan yang tinggi, sekali gus memaksa pelajar berkongsi ruang yang sempit demi mengurangkan kos.

Situasi tersebut menambah tekanan kepada pelajar yang sudah berdepan komitmen kewangan lain seperti yuran pengajian, makanan, pengangkutan dan pembelian bahan pembelajaran.

Beban ekonomi yang ditanggung pelajar semakin ketara dalam era kos sara hidup yang meningkat. Realitinya, tidak semua pelajar datang daripada latar belakang keluarga berada atau pendapatan sederhana.

Ada dalam kalangan mereka yang bergantung kepada bantuan zakat, biasiswa atau sokongan keluarga yang terhad. Segelintir pelajar daripada latar belakang kurang berkemampuan berhadapan dengan keadaan lebih kritikal apabila kawasan institusi pengajian tinggi mempunyai bilangan rumah sewa yang terhad tetapi permintaan sangat tinggi, menyebabkan kadar sewaan meningkat seperti hukum asas ekonomi – penawaran rendah, permintaan tinggi.

Walaupun universiti berusaha menambah kapasiti kediaman, proses pembinaan kediaman pelajar memerlukan masa, dana yang besar serta kelulusan oleh pelbagai pihak.

Akhirnya, sekali lagi pelajar menjadi pihak yang paling terkesan. justeru usaha yang lebih tersusun dan berstrategi amat diperlukan bagi meringankan bebanan kediaman sementara pelajar melalui perancangan jangka pendek, sederhana dan panjang.

Di peringkat jangka pendek, universiti boleh memperluas skim bantuan sewaan pelajar, menyediakan subsidi kediaman atau berkolaborasi dengan koperasi setempat untuk menawarkan sewaan pada kadar terkawal.

Dalam jangka sederhana, penambahan kolej kediaman atau pembangunan blok kediaman modular boleh menjadi langkah cepat dan kos efektif.

Namun solusi jangka panjang perlu bersifat mampan, tidak berlandaskan pembiayaan semata-mata

daripada yuran universiti atau peruntukan kerajaan.

Salah satu pendekatan yang berpotensi besar adalah memperkasakan institusi waqaf di peringkat pengajian tinggi. Konsep waqaf bukan sekadar pemberian harta untuk tujuan amal, tetapi satu instrumen pembangunan sosioekonomi yang mampu mencipta impak berpanjangan.

Di banyak negara Islam, waqaf pendidikan digunakan bagi menyediakan biasiswa, menampung kos operasi universiti, membangunkan perpustakaan dan membina kompleks kediaman pelajar.

Melalui konsep waqaf tunai, masyarakat dan alumni boleh menyumbang bagi membantu pelajar yang memerlukan, terutamanya dalam pembayaran sewa atau pembiayaan pembangunan kolej kediaman baharu di atas tanah wakaf.

Model ini bukan sahaja menurunkan kebergantungan pelajar terhadap pinjaman, malah mengukuhkan peranan universiti sebagai institusi yang memayungi kebajikan masyarakat.

Pelaksanaan waqaf di universiti juga boleh diwujudkan secara kreatif dan pelbagai bentuk. Misalnya, dana waqaf khusus bagi membiayai kemudahan berkongsi seperti dapur komuniti,

bilik pembelajaran, ruang rehat atau tempat solat dalam kolej kediaman. Kemudahan sebegini menjadikan kehidupan pelajar lebih kondusif dan sihat secara mental, selain mendorong budaya akademik yang positif.

Alumni yang pernah melalui kesukaran ketika belajar pula boleh menjadi kumpulan penyumbang dana utama kerana mereka memahami keperluan sebenar pelajar.

Dengan perancangan rapi, universiti boleh memperkenalkan platform digital waqaf yang telus, mesra pengguna dan membenarkan penyumbang memantau perkembangan projek.

Contoh kejayaan institusi waqaf dapat dilihat melalui Universiti Al-Azhar di Mesir, yang ditubuhkan sejak tahun 975 Masihi. Universiti berkenaan berkembang pesat hasil sokongan waqaf dan sehingga kini terus melahirkan ramai ilmuwan serta ulama tersohor dari seluruh dunia.

Sistem pendidikan Al-Azhar bertapak kukuh kerana sumber kewangan waqaf mengurangkan kebergantungan kepada kerajaan dan yuran pelajar.

Di Turki pula, universiti-universiti lama seperti Istanbul dan Fatih pada era Uthmaniyyah turut dibangunkan melalui tradisi waqaf, termasuk penyediaan asrama, perpustakaan dan kemudahan kesihatan untuk pelajar.

Kejayaan- kejayaan ini membuktikan bahawa waqaf mampu menjadi sumber kewangan mampan untuk pembangunan pendidikan dan infrastruktur pelajar.

Di Malaysia, semangat waqaf sebenarnya sudah lama berakar umbi melalui institusi masjid, sekolah agama rakyat dan pondok tradisional. Namun, pelaksanaan waqaf di universiti masih belum dimanfaatkan sepenuhnya. Kebanyakan universiti memiliki unit waqaf, namun skala pelaksanaannya cenderung kecil dan tertumpu kepada projek sekali-sekala.

Untuk menjadikan waqaf sebagai mekanisme kebajikan yang strategik, pengurusan waqaf perlu dilaksanakan secara profesional dengan pemantauan yang telus, audit berkala, serta pelaporan penggunaan dana yang jelas kepada penyumbang. Kepercayaan masyarakat adalah asas utama yang menentukan kejayaan inisiatif ini.

 

 

Ts.Dr. Nur Arzwin Mohamed Aris

Pensyarah Kanan

Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia

(UTHM)

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN