PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan telah memanggil seorang bekas menteri kanan berhubung dakwaan penyelewengan pelaburan mega semi konduktor bernilai RM1.11 bilion.
Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki berkata, bekas menteri itu adalah antara 12 individu yang telah dipanggil SPRM setakat ini untuk dirakam keterangan dan percakapan.
Beliau berkata, individu lain termasuk Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Ekonomi dan beberapa pegawai kanan agensi berkaitan kementerian itu selain pegawai dari Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (Mida).
Ditanya adakah Datuk Seri Rafizi Ramli juga akan dipanggil SPRM, Azam bagaimanapun enggan mengulas lanjut berhubung perkara itu.
“Saya tidak mahu sebut (nama bekas menteri). Ada daripada bekas menteri yang telah dipanggil untuk memberi keterangan,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Azam berkata, siasatan dilakukan berdasarkan aduan membabitkan sebuah projek kerjasama strategik semi konduktor antara kerajaan Malaysia dengan Arms Holdings sebuah syarikat berpangkalan di United Kingdom (UK).
“Kami sedang menentukan sama ada terdapat unsur penyalahgunaan kuasa, penipuan atau isu tadbir urus,” katanya.
Jelasnya lagi, pihaknya juga telah berjaya mendapatkan dokumen-dokumen penting kerjasama berkaitan projek itu termasuk kertas-kertas Kabinet mengenainya.
Dalam perkembangan sama, Azam berkata, pihaknya kini sedang mengesan seorang individu yang boleh dijadikan saksi bagi membantu siasatan kes berkenaan.
“Saksi itu kini dilaporkan berada di luar negara dan bekerja di syarikat yang berpangkalan di UK itu. Kita telah menggunakan pelbagai cara untuk memanggil beliau balik ke sini untuk dirakam percakapan,” katanya. – UTUSAN









