PUTRAJAYA: Langkah kerajaan mengumumkan penjimatan serta mengawal perbelanjaan susulan ketidaktentuan ekonomi global yang berlaku akibat konflik di Asia Barat bertujuan memastikan dana sedia ada dapat digunakan bagi keperluan mendesak atau luar jangka
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, kerajaan mengambil langkah berjimat-cermat dengan membekukan lawatan rasmi ke luar negara, selain mengawal perbelanjaan majlis-majlis keraian.
“Umpamanya majlis-majlis perayaan tahun ini untuk Hari Raya Aidilfitri tidak diadakan untuk memastikan bahawa dana-dana tersebut dapat ditabung, dapat disimpan untuk kegunaan-kegunaan yang mungkin lebih mendesak,” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan dan Paduan Kasih Madani Kementerian Pengangkutan di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Loke berkata, perbelanjaan kerajaan untuk tujuan pembangunan dan sosioekonomi termasuk projek pembangunan serta bantuan kepada rakyat akan diteruskan seperti yang dirancang.
“Perbelanjaan kerajaan tidak dipotong, sebaliknya ia dioptimumkan dan diutamakan kepada perkara yang memberi impak positif kepada rakyat serta menjaga kesejahteraan mereka,” ujarnya.
Menurut beliau, walaupun kali ini tiada sambutan rumah terbuka Aidilfitri diadakan, majlis kecil-kecilan masih boleh diadakan di peringkat jabatan agar kemeriahan Syawal masih dapat dirasai.
Tambahnya lagi, kementerian juga ketika ini sedang memantau dengan teliti perkembangan konflik yang berlaku di Asia Barat yang mempunyai kesan rantaian langsung terhadap ekonomi dan sistem pengangkutan dunia.
“Bersedia di sini bermakna kita perlu lebih bijak dan berhemat, di mana kita harus menjangkakan kemungkinan berlaku gangguan dalam tempoh penghantaran barangan import,” katanya. – UTUSAN










