Perantau pilih pulang awal, elak kesesakan jalan raya - Utusan Malaysia

Perantau pilih pulang awal, elak kesesakan jalan raya

ALIRAN kenderaan memasuki pusat bandar raya di Jalan Skudai, Johor Bahru, Johor semalam. – UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Golongan perantau mengambil cuti tahun untuk pulang ke kampung halaman di sekitar Johor lebih awal, sebelum tarikh cuti rasmi sempena Hari Raya Aidilfitri bagi mengelak kesesakan jalan raya.

Tinjauan Utusan Malaysia semalam mendapati, laluan masuk menuju ke pusat bandar raya khususnya di Jalan Skudai sesak sejak pukul 12 tengah hari.

Asiah Aisyah Mohd. Ali, 33, berkata, dia membuat keputusan itu bagi mengelak kesesakan jalan raya yang dianggarkan boleh mencecah enam atau tujuh jam perjalanan dari Kuala Lumpur.

Katanya, pengalaman pahit tersekat dalam kesesakan jalan raya tahun lalu mengajarnya bersedia lebih awal dengan mengambil cuti selama 12 hari.

“Tahun lalu saya tempuh perjalanan sehingga enam jam dari Cheras untuk ke Johor Bahru. Jadi untuk Aidilfitri tahun ini memang sudah rancang ambil cuti lebih awal untuk elak kesesakan.

“Kalau ikutkan hati mahu simpan cuti tahunan dan pulang ke kampung mengikut cuti rasmi, tetapi saya mahu elak kesesakan. Baik juga apabila dapat pulang ke kampung lebih awal untuk persiapan raya,” katanya.

Bagi Abdul Hadi Anuar, 35, pula, ini merupakan kali pertama dia menyambut Syawal di Johor Bahru di kampung halaman isterinya.

“Ini kali pertama saya sambut Syawal di Johor Bahru. Sebelum ini ada juga dengar berita kesesakan jalan khususnya di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) di sekitar Simpang Renggam kerana projek pelebaran jalan masih belum selesai.

“Jadi untuk elakkan kesesakan, saya dan isteri buat keputusan pulang beraya lebih awal, biarlah pengalaman pertama saya sambut raya di Johor Bahru lancar,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN