KUALA LUMPUR: Kebanyakan kebakaran di bangunan strata berketumpatan tinggi dikenal pasti berpunca daripada peralatan elektrik dan kecuaian manusia.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Hassan ‘As’ari Omar berkata, ia termasuk penggunaan barangan elektrik yang tidak mempunyai pensijilan keselamatan, termasuk yang dibeli pada harga murah secara dalam talian.
Katanya, kecuaian lain yang turut dikenal pasti termasuk perbuatan mengecas telefon bimbit ketika tidur sehingga menyebabkan peranti tersebut menjadi terlalu panas.
“Sebahagian besar punca dia adalah berkaitan dengan elektrikal. Tetapi ada juga kes-kes tertentu melibatkan kecuaian individu ataupun manusia. Itu secara umum.
“Apabila berlaku apa-apa insiden kebakaran, pasukan Penyiasatan Kebakaran akan datang untuk membuat penyiasatan dan menentukan punca dan keadaan kebakaran. Jadi kita memang menemukan punca,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar taklimat memperkukuh keselamatan kebakaran di bangunan strata di Ibu Pejabat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Kuala Lumpur, di sini hari ini.
Turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh.
Dalam pada itu, kata Hassan ‘As’ari, walaupun premis kediaman tidak tertakluk kepada Sijil Perakuan Bomba (FC), pemeriksaan keselamatan tetap dilaksanakan.
“Walaupun tiada FC dikuatkuasakan, kita masih lagi menjalankan penguatkuasaan akta di bawah Seksyen 8, Akta Perkhidmatan Bomba yang kita namakan program penghapusan bahaya kebakaran.
“Ini maknanya kita ada pemeriksaan berkala di premis residensi ini untuk memastikan sistem pepasangan berada dalam keadaan yang baik dan bangunan atau premis tadi selamat untuk diduduki. – UTUSAN










