IPOH: Pemain Perak perlu mengatasi sikap gopoh terutama di kawasan gawang lawan agar dapat memanfaatkan peluang menjaring gol.
Kepincangan itu dikesan semasa pertemuan separuh akhir pertama Piala Cabaran bertemu pasukan Sabah di Stadium Majlis Perbandaran Manjung di Lumut kelmarin.
Perlawanan berakhir tanpa jaringan dan kedua-dua pasukan akan bertemu sekali lagi di Stadium Likas pada 11 Mac ini.
Ketua Jurulatih Perak, Mohd Syamsol Saad mengakui kecewa dengan keputusan perlawanan tersebut.
Menurutnya, dia kecewa kerana menjangkakan Perak sepatutnya berupaya menjaring gol untuk dibawa ke Likas nanti.
“Pemain Perak perlu bekerja keras lagi dan elak mengulangi kesilapan sama. Perak mencipta beberapa peluang gol tetapi malangnya ia gagal disudahkan,” katanya.
Menurutnya, selain itu satu lagi faktor ialah perlawanan itu adalah yang pertama dilalui Perak pada bulan Ramadan.
“Tidak seperti Sabah yang terbabit dalam Liga Super di bulan Ramadan, Perak pertama kali beraksi pada Ramadan pada perlawanan ini,” katanya. – UTUSAN










