IPOH: Perak belum memutuskan pelaksanaan bekerja dari rumah (BDR) sebagai salah satu mekanisme penjimatan kerana ketidaktentuan geopolitik global ekoran konflik Asia Barat.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, BDR memerlukan keputusan kajian daripada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) yang memerlukan keserasian antara kerajaan Persekutuan dan negeri.
“Yang ini kita kena tunggu dulu kajian yang sedang dibuat oleh JPA kerana mesti ada keserasian di antara negeri dan Persekutuan.
“Kalau Persekutuan buat, negeri tak buat ia pun jadi susah. Jadi kena ada keserasian itu. Saya tunggulah apa cadangan kerana pada kita pun ada perbezaan sedikit,” katanya.
Beliau ditemui pemberita pada Program Mesra Hari Bertemu Pelanggan Kerajaan Negeri Perak di sini hari ini.
Katanya, pelaksanaan BDR sebelum ini di negeri ini kerana situasi pandemik Covid-19 yang berlaku di seluruh dunia.
“BDR kerana Covid ialah faktor keselamatan. Kita nak hadkan pertemuan orang ramai tapi yang ini bukan faktor keselamatan. Ini ada faktor lain, faktor ekonomi. Tengoklah kesesuaian dia dan keberkesanan bekerja dari rumah,” katanya.
Berhubung jamuan Hari Raya Aidilfitri, Saarani berkata, pelaksanaan tersebut tidak boleh dibatalkan kerana telah dirancang terlebih dahulu.
“Kita tak dapat nak membatalkannya sebab pertama telah menjemput orang ramai dan ia melibatkan kehadiran istana juga. Kemudian, kita telah pun engage dengan pembekal-pembekal. Jadi bila buat penjimatan pun kena ambil kira juga, jangan sampai pekerja katering pula akan kehilangan pendapatan.
“Kalau kita henti semua benda, sudah tentu katering akan kehilangan pendapatan. Pembekal barang mentah pun akan kehilangan pendapatan. Jadi kena kena berlaku adil kepada semualah,” katanya. – UTUSAN










