PETALING JAYA: Pengarah ladang Farm Fresh Bhd., Jacob Mathan, 35, merupakan rakyat Malaysia yang maut selepas helikopter yang dinaikinya terhempas di Filipina, semalam.
Menurut kenyataan syarikat, helikopter berkenaan dipercayai mengalami masalah enjin sebelum terhempas kira-kira pukul 7.20 pagi berhampiran Pililla, di Wilayah Rizal, ketika mangsa dalam lawatan rutin ke sebuah tapak ladang berpotensi.
Katanya, bagaimanapun Ketua Pegawai Eksekutif Farm Fresh Filipina, Shawn Pu, yang turut berada dalam pesawat itu mengalami kecederaan namun kini dilaporkan stabil.
Jacob menyertai Farm Fresh 13 tahun lalu sebagai pelajar latihan industri universiti sebelum dilantik sebagai pengarah ladang.
Sepanjang tempoh perkhidmatannya, beliau memainkan peranan penting dalam memperkukuh operasi ladang tenusu syarikat, termasuk membina hubungan strategik dengan kontraktor, pembekal, serta agensi kerajaan seperti Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur.
Dalam surat kepada kakitangan, Pengarah Urusan Kumpulan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Farm Fresh Bhd., Loi Tuan Ee menyifatkan kehilangan Jacob sebagai berita yang sangat memilukan. – UTUSAN.










