PETALING JAYA: Malaysia Airlines (MAS) menyambung semula penerbangan masuk dan keluar dari Jeddah (JED) serta Madinah (MED) buat sementara waktu, pada 4 sehingga 8 Mac ini berikutan penggantungan perkhidmatan yang dimulakan sejak 28 Februari lalu selepas penutupan ruang udara beberapa kawasan di Asia Barat.
Malaysia Aviation Group (MAG) dalam kenyataan berkata, perkhidmatan ke Doha (DOH) kekal digantung sehingga 7 Mac memandangkan pihaknya sedang menilai keadaan keselamatan.
Katanya, semua penerbangan lain, termasuk perkhidmatan ke London (LHR) dan Lapangan Terbang Paris Charles de Gaulle (CDG) kekal mengikut jadual, beroperasi pada laluan alternatif jauh dari zon konflik yang terjejas.
“Penumpang yang terjejas sedang dimaklumkan dan dibantu dengan pengaturan perjalanan alternatif jika perlu.
“Penumpang dinasihatkan untuk mengemas kini butiran hubungan mereka melalui ‘My Booking’ bagi perkembangan terbaharu,” katanya.
Bantuan boleh didapati melalui sembang langsung di laman web atau menghubungi Pusat Hubungan Global Malaysia Airlines di talian 1 300 88 3000 (dalam Malaysia) atau +603 7843 3000 (di luar Malaysia).
“Keselamatan dan kesejahteraan penumpang serta anak kapal adalah keutamaan kami,” katanya.
MAG berkata, dengan penyambungan semula penerbangan, MAS terus mengambil langkah proaktif untuk melindungi operasi termasuk menggunakan laluan penerbangan alternatif bagi mengelak kawasan terjejas.
Katanya, pihaknya juga mengekalkan koordinasi rapat dengan pihak berkuasa penerbangan dan rakan kongsi lapangan terbang, mengukuhkan keselamatan dalam penerbangan serta prosedur operasi termasuk memastikan penumpang dimaklumkan dengan kemas kini, selain memberikan sokongan tepat pada masanya.
“MAS akan terus memantau perkembangan dengan teliti termasuk mengambil semua langkah yang perlu untuk memastikan operasi yang selamat dan boleh dipercayai,” jelasnya. – UTUSAN









