KUALA LUMPUR: Pelakon, Reen Rahim, 37, kecewa dengan penghasilan drama televisyen sekarang yang menyajikan cerita berulang.
Menurut pemilik nama sebenar Noreen Ashikin Abdul Rahim, hal tersebut membuktikan kebanyakan drama masa kini berada di takuk lama.
“Jujur cakap, semakin lama makin meluat. Drama sekarang macam tidak ada cerita lain.
“Pusing-pusing kisah penyondol, wanita bodoh, wanita murah.
“Lima tahun macam ini, skrip terperangkap dalam takuk yang sama,” luahnya dalam Threads.
Reen mengakui penat menonton drama yang saban tahun mengetengahkan jalan cerita berulang.
“Penat tengok cerita perempuan murahan, lelaki tak ada pegangan, perempuan bodoh, lelaki bebal. Zaman itu sudah habislah.
“Sekarang manusia sudah bijak ,faham dan ada nilai. Bukan marah, kita cuma rindu cerita yang ada nilai,” ujarnya. – UTUSAN










