Penang FC lakar sejarah mara ke final Piala Cabaran

Penang FC lakar sejarah mara ke final Piala Cabaran

KAPTEN Penang FC, Stefano Brundo (kanan) meraikan jaringannya bersama rakan sepasukan ketika menentang Kelantan TRW dalam aksi separuh akhir kedua Piala Cabaran di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang malam ini.-UTUSAN/DANIAL SAAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Jaringan tunggal oleh kapten, Stefano Brundo pada aksi separuh akhir kedua Piala Cabaran ketika menentang Kelantan The Real Warriors (TRW) di Stadium Bandaraya malam ini sudah cukup untuk membawa Penang FC mara ke final kejohanan tersebut buat kali pertama sejak ia diperkenalkan kira-kira lapan tahun yang lalu.

Terdahulu, dalam aksi separuh akhir pertama minggu lepas, skuad kendalian Wan Rohaimi Wan Ismail berpesta gol apabila membenam lawan yang sama 5-2 di Kota Bharu sekali gus melakar sejarah mara ke perlawanan akhir dengan agregat 6-2.

Beraksi di laman sendiri pada aksi kedua, Penang FC bagaimanapun berdepan dengan corak permainan agresif yang dipamerkan oleh Kelantan TRW yang mahu memburu gol awal bagi menghidupkan peluang memburu tiket ke final.

Bagaimanapun, ketumpulan jentera serangan pelawat mudah dipatahkan oleh benteng pertahanan tuan rumah yang diterajui oleh Brundo bersama seorang lagi pemain import iaitu Faith Friday Obilor.

Tersentak dengan asakan bertali-arus lawan, Penang FC kembali memperkemaskan jentera serangan mereka dan hampir mendahului perlawanan pada minit ke-35 menerusi sepakan penalti selepas ayam tambatan mereka, Dylan Wenzel-Halls dijatuhkan pemain pertahanan, Mohamad Faris Shah Rosli dalam kotak penalti.

Namun, sepakan penalti yang diambil sendiri oleh Wenzel-Halls itu mudah dibaca oleh penjaga gol Kelantan TRW, Damyan Valeriy Damyanov yang menangkap kemas bola tersebut.

Masuk babak kedua, skuad Harimau Kumbang kembali menyusun serangan untuk memburu jaringan dan berjaya memperoleh satu lagi sepakan penalti selepas bola terkena tangan seorang pemain pelawat iaitu Alexandre Yeoule dalam kotak penalti.

Brundo yang diberi tanggungjawab untuk mengambil sepakan tersebut bagaimanapun tidak menghampakan apabila merembat kencang ke arah gawang gol Kelantan TRW pada minit ke-56 untuk gol pertama tuan rumah.

Penang FC juga hampir menggandakan jaringan pada minit-minit terakhir permainan menerusi Wenzel-Halls, namun, jaringan itu dibatalkan untuk pengadil, Mohd. Afdzal Hilmi Zulkiflee kerana ofsaid.

Keputusan 1-0 itu seterusnya kekal sehingga tamat perlawanan sekali gus menyaksikan Penang FC bakal berdepan dengan Sabah selepas skuad Badak terlebih dahulu mara ke final apabila menyingkirkan Perak dengan agregat 1-0.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN