Peminat ‘korek’ lakonan lama, Que Haidar syukur dihargai - Utusan Malaysia

Peminat ‘korek’ lakonan lama, Que Haidar syukur dihargai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelakon, Que Haidar, tidak menyangka hasratnya untuk kembali aktif dalam dunia hiburan selepas berehat seketika disambut baik peminat, malah klip lakonannya yang lama kembali tular di media sosial.

Que atau Tengku Iskhan Shah Tengku Haidar, 46, meluahkan rasa syukur apabila hasil kerja kerasnya sejak lebih sedekad lalu kembali menjadi perhatian dan dihargai oleh generasi penonton masa kini.

“Alhamdulillah, saya gembira kerana orang masih ingat kerja-kerja seni saya. Mereka mula ‘menggali’ semula lakonan saya seperti dalam drama Cinta Untuk Ain dan beberapa naskhah lain.

“Bagi saya, ini satu perkara yang baik, terutama bagi mereka yang mungkin sebelum ini tidak mengetahui saya pernah berlakon dalam karya tersebut. Sekurang-kurangnya sekarang mereka mula mencari dan menontonnya semula,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sidang media program Raya Astro 2026 yang berlangsung di sebuah hotel di ibu negara, baru-baru ini.

Tambah pelakon filem Rock itu, beliau memilih untuk melihat situasi tersebut dari sudut positif sebagai satu bentuk penghargaan terhadap kualiti karya yang pernah dihasilkannya.

“Pokok pangkalnya bergantung kepada diri sendiri sama ada mahu melihat perkara itu secara positif atau sebaliknya. Bagi saya, lebih baik ambil yang positif sahaja,” ujarnya.

Dalam pada itu, bapa kepada dua cahaya mata ini turut berkongsi reaksi anak-anaknya terhadap populariti yang kembali diraihnya di media sosial.

Menurut Que, suasana di rumah tidak banyak berubah kerana mereka jarang berbual tentang dunia glamor atau perkara tular.

“Alhamdulillah, mereka okey sahaja. Di rumah kami sebenarnya tidak banyak bercakap tentang perkara viral seperti ini.

“Malah, mereka juga tidak bertanya atau menghantar klip video yang tular itu kepada saya. Perkara itu belum menjadi topik perbualan kami,” katanya.

Terdahulu, bermula dengan trend “Jamilah” di TikTok, nama Que Haidar kembali meraih perhatian dan mencipta fenomena di media sosial. Keadaan menjadi lebih hangat apabila beliau dilihat akrab dengan pelakon Nur Fazura ketika bekerjasama mempromosikan sebuah jenama pakaian tempatan. — UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN