Pembangunan Sudut Hijau terapi PPD beri manfaat pelajar OKU

Pembangunan Sudut Hijau terapi Politeknik Port Dickson beri manfaat pelajar OKU

Majlis simbolik penyerahan pokok herba dan struktur rumah hijau oleh Wan Zulkifly Wan Zakaria (berbaju batik biru), dan Dhiya Hafreez Kamil (batik hitam) bersama Engku Shaharulerizal Engku Ab. Rahman (sebelah kanan Wan Zulkifly) kepada wakil pengurusan Pusat Penjagaan Dalam Komuniti Cahaya Murni, serta para pelajar kurang upaya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Politeknik Port Dickson (PPD) terus membuktikan keunggulannya sebagai institusi Program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bertaraf antarabangsa dengan pengiktirafan Asia Pacific Accreditation and Certification Commission (APACC) Platinum melalui pelaksanaan Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR)

Pembangunan Sudut Hijau Terapi di Pusat Penjagaan Dalam Komuniti (PDK) Cahaya Murni, Pasir Panjang.

Wan Zulkifly Wan Zakaria (kanan) dan Engku Shahrulerizal Engku Ab. Rahman menunjuk cara penanaman pohon herba dalam pasu sambil disaksikan oleh peserta pelajar kurang upaya.

APACC merupakan sebuah pusat yang berada di bawah seliaan Jabatan Kebajikan Masyarakat dan berfungsi menyediakan latihan pemulihan serta pembangunan kemahiran kepada golongan Orang Kurang Upaya (OKU) di peringkat komuniti.

Program yang dianjurkan oleh Jabatan Kejuruteraan Awam PPD itu dilaksanakan dengan kerjasama pihak industri, DASACON Sdn. Bhd., serta pihak pengurusan PDK Cahaya Murni sebagai usaha memperkukuh hubungan strategik antara institusi pendidikan, industri dan komuniti setempat.

Dalam majlis tersebut, sebuah aset Rumah Hijau Terapi bernilai RM3,000 diserahkan kepada pihak PDK bagi menyokong pelaksanaan aktiviti terapi hortikultur kepada pelatih OKU.

Wan Zulkifly Wan Zakaria (batik biru), Dhiya Hafreez Kamil (batik hitam) dan Rosnani Mistam (bertudung putih) bersama-sama pegawai-pegawai kanan, pensyarah Politeknik Port Dickson, guru-guru serta pelajar kurang upaya Pusat Penjagaan Dalam Komuniti (PPD) Cahaya Murni selepas majlis simbolik penyerahan pokok herba dan struktur rumah hijau di Port Dickson baru-baru ini.Kemudahan berkenaan diharap dapat membantu merangsang perkembangan emosi, kemahiran motor dan interaksi sosial melalui aktiviti penanaman serta penjagaan tanaman dalam persekitaran yang lebih kondusif.

Majlis penyerahan tersebut disempurnakan Pengarah Politeknik Port Dickson, Wan Zulkifly Wan Zakaria, bersama Timbalan Pengarah Akademiknya, Dr. Engku Shahrulerizal Engku Ab. Rahman.

Turut hadir wakil industri daripada DASACON Sdn. Bhd. Dhiya Hafreez Kamil, serta wakil PPD Komuniti Cahaya Murni, Rosnani Mistam.

Program berkenaan turut melibatkan penyertaan 30 pensyarah pakar VET daripada Jabatan Kejuruteraan Awam PPD yang berganding bahu bersama penasihat industri dalam mereka bentuk serta membangunkan struktur Rumah Hijau Terapi tersebut.

Kerjasama tersebut memperlihatkan bagaimana kepakaran teknikal TVET dapat dimanfaatkan secara langsung untuk memberi impak kepada masyarakat.

Sebagai institusi yang diiktiraf dengan status APACC Platinum, PPD sentiasa komited memastikan standard pendidikan dan latihan TVET berada pada tahap tertinggi di peringkat Asia Pasifik.

Pengiktirafan tersebut mencerminkan kecemerlangan institusi dalam aspek tadbir urus akademik, kerjasama industri, inovasi pengajaran dan pembelajaran serta sumbangan kepada pembangunan komuniti. Pelaksanaan program berkenaan juga selari dengan aspirasi Dasar TVET Madani yang menekankan pembangunan modal insan berkemahiran tinggi, kesejahteraan masyarakat serta pengukuhan hubungan antara institusi pendidikan, industri dan komuniti.

Melalui pembangunan Sudut Hijau Terapi ini, projek berkenaan dijangka memberi manfaat langsung kepada seramai 30 orang pelajar OKU di PDK Cahaya Murni.

Kemudahan tersebut akan digunakan sebagai ruang terapi hortikultur yang membantu meningkatkan kemahiran motor halus, merangsang perkembangan emosi serta menggalakkan interaksi sosial melalui aktiviti penanaman dan penjagaan tanaman secara berkumpulan.

Inisiatif ini membuktikan bahawa institusi TVET bukan sahaja berperanan melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi, malah turut menjadi pemangkin kepada pembangunan komuniti yang inklusif dan lestari. Kerjasama erat tersebut sekali gus memperkukuh reputasi Politeknik Port Dickson sebagai institusi TVET yang cemerlang, berimpak komuniti dan selari dengan aspirasi pembangunan negara. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN