IPOH: Seorang individu yang identitinya tidak dapat dipastikan ditemui rentung selepas kereta yang dipandunya terbabas sebelum terbakar dalam kejadian di Kilometer 284.2, Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara, di sini hari ini.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, maklumat mengenai kejadian itu diterima pada pukul 6.33 petang.
Katanya, sepasukan sembilan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Simpang Pulai kemudiannya dikejarkan ke lokasi kejadian untuk operasi pemadaman.
“Maklumat awal diterima melalui talian MERS 999 memaklumkan berlaku kebakaran melibatkan sebuah kenderaan dan terdapat seorang mangsa tersepit.
“Setibanya jentera di lokasi, didapati sebuah kereta yang jenis dan nombor pendaftarannya belum dapat dikenal pasti, dipercayai terbabas sebelum melanggar sebatang pokok dan terbakar kira-kira 80 peratus.
“Terdapat seorang mangsa ditemukan maut dalam keadaan rentung di bahagian tempat duduk pemandu,” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata, setakat ini, pihaknya belum dapat mengenal pasti identiti dan jantina mangsa berkenaan.
“Kerja-kerja pemadaman berjaya dikawal sepenuhnya dan operasi mengeluarkan mangsa yang tersepit sedang dijalankan sebelum mayatnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya. – UTUSAN










