Pelajar Politeknik Ungku Omar santuni 39 anak yatim,

Pelajar Politeknik Ungku Omar santuni 39 anak yatim, sumbang kurta sempena Aidilfitri

PELAJAR program Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Pembuatan, Jabatan Kejuruteraan Mekanikal (JKM), Politeknik Ungku Omar (PUO) bersama anak-anak yatim selepas penyampaian sumbangan baju kurta di Ipoh baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Semangat keprihatinan dan ukhuwah dalam kalangan warga Politeknik Ungku Omar (PUO) terus dizahirkan apabila sekumpulan pelajar institusi itu menyantuni 39 orang anak yatim menerusi program penyampaian sumbangan baju kurta sempena Aidilfitri.

Program kebajikan tersebut dilaksanakan oleh seramai 10 pelajar program Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Pembuatan (Pengurusan Rangkaian Bekalan) Kohort 11.

Ketua Program yang juga penasihat program, Dr. Rosmawati Mat Jihin berkata, sumbangan tersebut diharap dapat menceriakan persiapan Syawal anak-anak yatim terbabit.

“Memberi tidak akan mengurangkan, malah menambah keberkatan.

“Kami berharap sumbangan baju kurta ini dapat menceriakan lagi persiapan sambutan Syawal anak-anak ini, sekali gus memberi mereka peluang untuk merasai

kemeriahan Hari Raya Aidilfitri seperti kanak-kanak yang lain,” katanya.

Dr. Rosmawati berkata, pengumpulan dana bagi menjayakan program tersebut merupakan hasil infaq serta keprihatinan para pensyarah yang sentiasa menyokong usaha kebajikan berkenaan.

Katanya, sumbangan berkenaan diagihkan kepada anak-anak yatim dari tiga buah rumah kebajikan iaitu Rumah Anak Yatim Ar-Ridwani, Rumah Anak Yatim Nurul Iman dan

Rumah Anak Yatim Baitul Aini di sekitar bandar raya ini.

Majlis penyampaian sumbangan tersebut telah disempurnakan oleh pensyarah program BMS, Jabatan Kejuruteraan Mekanikal (JKM) PUO, Dr. Mahmod Ali.

Sementara itu, Ketua Jabatan Kejuruteraan Mekanikal PUO, Mohd. Saiful Saleh merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang menyumbang tenaga dan kewangan bagi memastikan program tersebut dapat dilaksanakan dengan jayanya.

“Saya berharap setiap sumbangan yang diberikan menjadi amal jariah serta memberi manfaat kepada semua pihak yang terlibat,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN