PETALING JAYA: Tindakan mengenakan gari terhadap pendakwah bebas Zamri Vinoth bukan disebabkan layanan tidak adil, sebaliknya berkaitan prosedur operasi standard (SOP) dan tangkapan pihak polis.
Peguam, Asiah Jalil berkata, undang-undang menetapkan bahawa hanya satu tangkapan terhadap suspek dibenarkan bagi kesalahan yang sama dalam mana-mana siasatan kes jenayah.
Menurutnya, selepas seseorang individu ditahan, pihak polis boleh memohon perintah reman dan kemudian dibenarkan memohon sambungan reman sekali lagi.
“Dua kali itulah sahaja tempoh maksimum reman. Selepas tempoh reman tamat, jika pertuduhan belum sedia untuk diteruskan, biasanya suspek akan dilepaskan dengan jaminan polis terlebih dahulu.
“Pihak polis boleh juga tangkap dan lepaskan pada hari yang sama, tanpa memohon perintah reman. Laporan tangkap dibuat, kemudian suspek dibebaskan dengan jaminan polis.
“Suspek tidak boleh ditangkap sekali lagi pada bila-bila masa jua pun selepas itu. Maksudnya, polis tak boleh tangkap dua kali atau tiga kali untuk siasatan berkaitan kesalahan yang sama,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya hari ini.
Menurutnya, D. Arumugam didakwa di Mahkamah Majistret Jawi kerana mengeluarkan kenyataan di Instagram yang boleh menimbulkan kegentaran awam yang dimuat naik pada 12 Mac 2025.
Manakala Zamri pula didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur kerana mengeluarkan kenyataan di Facebook yang boleh menimbulkan kegentaran awam yang dimuat naik pada 3 Februari 2026.
Katanya, kesalahan Arumugam dilakukan setahun lalu manakala Zamri setahun yang lalu.
“Saya percaya tahun lepas Arun Dorasamy sudah ada laporan tangkap. Sebaliknya Zamri Vinoth belum ada laporan tangkap,” jelasnya.
Menurut Asiah lagi, jika pertuduhan sudah sedia untuk diteruskan ke mahkamah, pihak polis akan memberi notis kepada suspek untuk hadir ke mahkamah pada tarikh yang dinyatakan tanpa perlu bergari.
Sebelum ini, Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhammad Akmal Saleh menggesa polis memberikan penjelasan berhubung tindakan berbeza dalam isu pemakaian gari terhadap dua individu ketika dibawa masuk bagi menghadapi pertuduhan di mahkamah.
Menurutnya, timbul persoalan sama ada wujud SOP berbeza dalam pengendalian ketika membawa kedua-dua tertuduh ke mahkamah.
“Seorang digari dan seorang lagi tidak digari. Bolehkah pihak polis memperjelaskan mengapa perkara ini berlaku?
“Adakah SOP berbeza kerana Arun (Arun Dorasamy) diiringi oleh Timbalan Menteri berbanding Zamri (Muhammad Zamri Vinoth)? Kami minta penjelasan,” katanya semalam. – UTUSAN










