BAGAN SERAI: Pas menggesa tindakan tegas dikenakan terhadap individu yang memijak al-Quran dan perbuatan itu tidak boleh dipandang ringan kerana boleh menggugat keharmonian negara.
Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad berkata, perbuatan individu tersebut tindakan biadab yang menyentuh sensitiviti umat Islam serta boleh menimbulkan ketegangan antara kaum dan agama sekiranya tidak ditangani secara serius.
“Isu pijak al-Quran ini bukan perkara kecil. Semua orang tahu kedudukan al-Quran dalam Islam. Apabila seseorang yang hidup dalam negara ini melakukan perbuatan sedemikian, ia bukan alasan tidak tahu undang-undang.
“Tindakan keras perlu diambil. Jangan sampai rakyat melihat seolah-olah undang-undang tidak tegas dalam hal membabitkan agama. Kita tidak mahu perkara ini berulang atau menjadi contoh tidak baik kepada masyarakat,” katanya.
Beliau ditemui pemberita pada program moreh makan kerang bersama Yang Berhormat Pak Teh di Dataran Sriti Bagan Serai di sini semalam.
Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gunung Semanggol, Razman Zakaria dan ADUN Selinsing, Sallehuddin Abdullah.
Menurut Idris, kes berkenaan juga boleh dikaitkan dengan elemen 3R yang tertakluk di bawah peruntukan undang-undang termasuk Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, justeru memerlukan penelitian serta tindakan sewajarnya oleh pihak berkuasa.
Beliau berkata, Pas tidak sesekali menggalakkan tindakan di luar batas undang-undang dan menyeru orang ramai supaya menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan serta pendakwaan.
“Kita tidak mahu rakyat mengambil tindakan sendiri. Negara ini ada sistem perundangan. Biarlah pihak berkuasa menjalankan tanggungjawab mereka.
“Ketegasan kerajaan dalam menangani isu berkaitan agama amat penting bagi memastikan keamanan dan keharmonian masyarakat majmuk di negara terus terpelihara,” katanya. – UTUSAN










