PAC kemuka 9 syor pada FELCRA

PAC kemuka 9 syor pada FELCRA

MAS ERMIEYATI SAMSUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) kemuka sembilan syor kepada Lembaga Penyatuan Dan Pemulihan Tanah Persekutuan (FELCRA) untuk penambahbaikan pengurusan perolehan ladang sawit.

Pengerusinya, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, antaranya adalah FELCRA perlu melaksanakan penilaian bebas oleh perunding luar bertauliah untuk semua perolehan ladang-ladang komersial baharu.

Kata beliau, sebarang pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) baharu yang mewajibkan penilaian pihak ketiga selepas tarikh kuat kuasa iaitu pada 15 Ogos lalu mesti dikenakan tindakan tatatertib atau perundangan yang tegas tanpa kompromi.

Selain itu, katanya, Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) juga perlu meluaskan skop kawal selia dan pemantauan bagi merangkumi tadbir urus serta keputusan perolehan aset strategik, termasuk perolehan yang dibiayai menggunakan dana dalaman syarikat, bukan hanya terhad kepada projek peruntukan pembangunan (DE).

“FELCRA hendaklah mematuhi SOP baharu yang telah dikuatkuasakan yang mana garis masa minimum ditetapkan dalam tempoh masa 15 ke 30 hari untuk menandatangani perjanjian perolehan ladang-ladang komersial baharu.

“FELCRA hendaklah melaksanakan audit dalaman secara sukuan tahun bagi menyemak pematuhan 100% terhadap SOP yang diperkukuhkan khususnya melibatkan penilaian bebas oleh pihak ketiga serta keperluan untuk wakil-wakil kementerian hadir secara fizikal dalam mesyuarat yang mempertimbangkan perolehan ladang-ladang komersial baharu.

“Audit ini perlu dibentangkan untuk pertimbangan lanjut Lembaga Pengarah FELCRA,” katanya.

Mengulas lanjut, Mas Ermieyati berkata, FELCRA turut dikehendaki menyemak semula dan membuat pengiraan secara terperinci bagi unjuran Pulangan Pelaburan (ROI) yang realistik menggunakan kaedah yang lebih wajar dan mengambil kira segala kos yang terlibat.

Pada masa sama, katanya, FELCRA perlu memastikan program pemulihan ladang yang kurang berdaya maju diteruskan dan diperluaskan dengan pelan pemantauan prestasi yang lebih ketat dan berasaskan KPI yang jelas.

“Ini bagi memastikan pelaburan yang telah dibuat menghasilkan pulangan yang baik seperti yang telah disasarkan dan secara langsung menyumbang kepada keuntungan syarikat,” katanya.

Beliau berkata, lembaga itu hendaklah merangka dan melaksanakan pelan strategik jangka sederhana dan panjang dengan sasaran yang jelas untuk mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing melalui pelan mekanisasi yang komprehensif.

Jelasnya, FELCRA juga mesti menyediakan kemudahan asas yang lebih baik bagi menarik tenaga kerja tempatan.

“KKDW dan FELCRA perlu menilai dan menetapkan semula sasaran perolehan land bank yang lebih realistik, dengan mengambil kira keupayaan kewangan FELCRA serta pelan perolehan yang jelas dan jaminan sumber pembiayaan yang mencukupi.

“Ini untuk mengelakkan risiko kepada kelestarian kewangan syarikat menampung kos operasi jangka panjang,” katanya

Tambahnya, Kementerian Kewangan dan KKDW juga perlu memperkasakan keanggotaan Lembaga Pengarah dengan melantik pihak luar yang merangkumi pelbagai kepakaran bagi memantapkan tadbir urus FELCRA.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN